3 Januari 2010

Bila first time saya tinggalkan rumah untuk pergi kem?
Tingkatan 4.

Sekolah rendah pun tak pernah pergi kem pengakap. Saya bukannya sukakan adventure..
Dan takut nak tinggalkan rumah.. Saya bukan anak manja, ok?


Tingkatan 4
Berbalik kepada kem pertama saya..
Masa tu pengakap sekolah saya buat kem.
Tapi bukan pasal pengakap pun..
Kalau pengakap, dia akan belajar rukun pengakap, ikatan tali, lagu, etc..
Tapi kem ni lebih kepada SURVIVAL..
So, bukan kem pengakap lah..

Kem ni buat kat pantai Morib. Mula petang Jumaat, balik petang Ahad. Esoknya ada kelas.
Saya xnak pergi kem ni, tapi entah camne, terpaksa pergi.
Saya menangis pada petang Sabtu. Teringat kat rumah, mama dan abah..
P.s: Saya BENCI kem ni. Sejak tu, saya tak pergi kem pengakap setelah TERTIPU.

Tingkatan 5
Kem ni bawah pengakap Daerah Klang - bahagian Pelabuhan Klang.
Sekolah dan rumah saya tak jauh dengan pelabuhan. Tapi lebih dekat dengan bandar Klang. 10 minit dari rumah je bandarnya.

Dalam kem ni baru belajar pasal pengakap. Saya takde lagi apa-apa lencana.
Lencana ahli pun tiada.
So, kami belajarlah camne nak dapatkan lencana tu..
Belajar ikatan, belajar kawat, bla bla bla..
Petang Sabtu, saya menangis (lagi?)..
Maklumlah, saya tak pernah tinggalkan rumah..
Harap pembaca faham hati ni..

P.s. Kem ni ok lah.. Tujuannya nampak jelas. Tapi saya BENCI pergi kem.. Ini kem terakhir saya waktu zaman sekolah..

Matrikulasi:
Untuk Ko-kurikulum, saya (terpaksa) ambil kawat kaki. Kadet Remaja Matrikulasi.
Kami tak boleh pilih koku kami.. Saya geram dengan pihak atasan..

Diwarwarkan akan ke Langkawi. Changlun dengan Langkawi tak jauh. Tapi, untuk jimat peruntukan kolej, event tersebut dibatalkan.. Alhamdulillah.. Malas nak pergi pun..
Saya BENCI kem.. Fobia..

UTM:
Kem anjuran PMI. Pesertanya Tahun 1. Saya terlupa nama kem ni.
Saya pergi atas dasar kesian kat naqib saya, abg Arif Ahmad.
Abang Arif ni ajk pengangkutan.
Dipendekkan cerita, saya pergi..

Petang Jumaat.
Kami naik bas ke kawasan Kem Kaizen. Kawasan air terjun. Hati ni dah teriak, nak menangis. Air mata mulalah mengalir..

Malam Sabtu.
Kami makan malam atas talam. Tiada masalah, sebab dah biasa makan camtu kat matrik.

Saya nak basuh tangan
Saya tengok bilik air.
GULP!

Saya keluar bilik air.
Saya tanya abang Fahmin.
>>> Masa ni abang Fahmin Tahun 2. Saya Tahun 1. Selepas beberapa bulan, baru saya tahu, kami sebaya. Sampai hari ni saya panggil dia ABANG.

"Abang, bilik airnya takde pintu ke?"
Bilik air tu, ada satu pintu je. Pintu masuk.
Dalam tu, ada tandas, dan itu je pintu yang ada kat dalam.
Luar tandas (masih dalam bilik air) tu ada kolah.
Nak mandi, kena mandi ramai-ramai..

Abang Fahmin kata takde.
Saya menjerit ketakutan.
Saya tak suka mandi bercampur.. Saya x suka bukak baju depan orang, walaupun sama-sama lelaki.. Inikan pulak kena mandi sama..

Saya berlakonlah pening kepala.. Badan tak sihat.. Nak muntah..
Kemudian saya mintak nak balik UTM..
Dan saya selamat sampai kat UTM..

P.s. Saya sampai petang kem tu petang, tapi malam dah balik. Belum 6 jam pun kat kem tu. Pengalamn ngeri dan lucu.

Kem Bina Insan. Atau KBI
Saya lupa anjuran sape, tapi ajknya orang PMI.
Saya pergi kem ni atas dasr kesian kat naqib. Dia mengharap sangat saya pergi.
Saya pun pergilah walaupun benci kem..

Kalau tak salah, tarikhnya 1 Januari 2010. Kat kandang kambing..
Satu hari selepas Annual Grand Meeting Kelab Remaja Ukhwah.
>>> Pembentukan AJK KRU untuk sesi baru.
Saya je wakil muslimin KTC. Budak lain sibuk memanjang. Kesian saya..

Tengok-tengok AJKnya budak2 KTC.. Sukalah saya.. Saya pun bermanja dengan deme..
Nilah first time saya kenal muslimin luar KTC. Rami rupanya yang perjuangkan Islam kat UTM. Seronoklah ada kawan-kawan baru. Mungkin kem paling best pernah saya pergi.

Yang tak bestnya, keharuman kambing menusuk paru-paru..

Overall, kem ni oklah.. Kalau ajak saya pergi kem lagi, jawapan saya sama je.
TAK NAK.

Saya dengar KRU nak buat kem.
Kalau naqib pujuk sampai cair hati saya, saya pergi.

(Baca lagi...)

April 2010

Saya sedang makan malam bersama Abang Ridwan dan Abang Azim berdua - Azim Jamil dan Azim Fahada. Waktunya selepas Maghrib, di kafe KTC. (Belakang kafe, kat luar, sebab waktu malam)

Kami makan, sambil bersembang.
Abang Azim Jamil tanya:
"Acap kat rumah petang-petang buat apa?"

Nota: SEMUA senior muslimin panggil saya Acap. Tapi saya cukup tak suka panggilan tu.
Saya suka orang panggil nama penuh saya. Atau panggil "As".

Saya jawab:
"Duduk rumah je.."

Saya tahu sepak bola, bererti saya bukan kaki bangku.
Tapi tak suka main bola sepak, sebab tak minat. Suka main badminton, tapi setahun dua tiga kali je main. Saya bukannya aktif bersukan. Saya ponteng kelas kokurikulum badminton sepanjang tingkatan lima, tapi kehadiran dapat 70%.

"Acap tak bergaul dengan masyarakat"
Dengan yakinnya, saya menggelengkan kepala.

Saya bolehlah dikategorikan sebagai anti-sosial, tapi bukan anti masyarakat.
Saya tidak membenci masyarakat.
Cuma saya rasa saya cenderung untuk bersendirian.
Ya, saya suka mengasingkan diri daripada orang ramai, walaupun kawan-kawan sendiri. Nak kata saya ada sahabat, sebenarnya boleh kata tiada.
Tapi saya suka lepak dengan senior-senior. Saya berkawan dengan orang yang tua bertahun-tahun tua daripada saya. Classmate sendiri pun saya jarang bercakap.

"Camne ni Acap? Hidup dah dekat 20 tahun"
Saya masih 19, akan masuk 20. Still young.

Saya diam je.

Abang Azim Jamil cerita mase zaman sekolah, dia kayuh basukal 20 km sehari satu hala. Sekolahnya di Alor Setar. Saya pun 4 km sehari je. Entah betul ke tak saya mengiyakan je.

Lepas tu terbukalah cerita nak panjat gunung itu, gunung ini. Nak cerita yang dia ni aktiflah..
"Acap nak tak panjat gunung?"
"Tak" jawabku, sambil menghirup air dengan straw.
"Come on lah, Cap.. Kena keraskan badan sikit.."
Lelaki memang patut dilatih jadi keras. Tapi dalam kes saya..

Dia ceritalah macam-macam, panjat gunung, mandi sungai, tasik, paya, entah apa-apa lagi.

"Bila?" tanya saya.
"Ah.. Orang yang nak ikut je tahu.."

Dia pujuk gila-gila, dan saya pun terpukau gila-gila.

Dipendekkan cerita, Abang Azim jadi PIC, Abang Faruqi jadi AJK publisiti - hantar SMS kat geng2 kami. Saya naik kereta Abang Hafizul Hilmi. Abang Ikhlas duduk belakang saya. Dan kami pergi mandi kat air terjun Gunung Pulai. Dah bertahun tak pergi air terjun. Sampai je, kami pun mandi.. Dengan aksi-aksi semacam, Pak Lang panjat jambatan macam koala bear, dan sebagainya.

Program ni bertujuan nak mengeraskan saya yang serba "lembut" ni. Alasan nak mandi air terjun. Mase tu hujung musim peperiksaan, mase pelajar tahun 2 elektrik dah abis exam. Hari Khamis. Tahun depan mungkin tak jumpa lagi. Saya satu-satunya pelajar paling muda kat situ. Ada je event, saya ditarik dalam geng diorang..

Saya rindu kat semua..

(Baca lagi..)

Ombak mula menghempas pantai.
Lama tak dengar bunyinya.
Kalau tak salah, kali terakhir pergi pantai Morib.
Tak jauh bezanya dengan pantai ni.
Tapi perasaan yang berbeza..
Kosong..

A world without you..



Petang tu, kami beriadah di tepi pantai kat pantai Batu Feringhi.
Saya duduk kat atas sebiji batu besar dan menghadap matahari.
Kaki direndam dalam air laut.
Mama duduk di sebelah untuk berbual denganku.

"Sekejap je setahun, kan?" tanya mama.
Aku mengangguk.
Setahun sudah berlalu. Alam matrikulasi terasa singkat.

Saya sengaja mengimbau kisah-kisah lama.
Kalau diberi peluang, tentulah saya mahu ubah segala kesilapan saya pada masa lalu.
Tapi, segala yang berlaku, ada hikmahnya.
Sekurang-kurangnya saya dapat pengajaran besar.
Yang mungkin mematangkan saya.

Saya hanya seorang budak sebelum masuk matrik.
Tapi, saya makin berani sekarang.
Ilmu kita tak pernah cukup, tapi sentiasa perlu ditambah.
Ilmu tak mengenal usia. Ilmu mematangkan kita.
Inilah saranan Islam, yang hakikatnya masyarakat Islam sendiri mengabaikannya.
Sebahagian yang tak berpeluang untuk sambung belajar, sibuk bekerja.
Bagi mereka, gaji bulanan ialah syurga mereka.

Saya sedih bila terkenang kawan-kawan yang tak dapat masuk matrik, universiti dan kolej.
Ada yang digelar kutu rayau. Hidup hanya untuk makan. Untuk sebulan dua mungkin boleh. Tapi tak selamanya mereka mahu hidup begitu.
Tapi, kalau mereka beriman, insyaAllah mereka boleh berjaya dunia dan akhirat.

Adik-adik bermain di tepi pantai bersama abah.
Lama tak nampak mereka main bersama.
Saya jadi batu loncatan dalam keluarga, kerana keluarga kami mula berani ke tempat yang jauh. Sebelum ni tak keluar daripada Petaling Jaya pun. KL lagi tak pernah.

Banggalah jugak, jadi anak pertama yang belajar jauh dari rumah dan paling jarang balik. Tiga bulan sekali baru dapat tidur nyenyak kat rumah.

Teringat pesanan ustaz Azlan dan ustazah Sharifah Noorulhayati.
Apa pesanannya? Lain kaliliah saya cerita.

Tak lupa kepada seorang yang pernah saya panggil kawan.
Kami bukan musuh, tapi perkara ni terlalu rumit.
Mungkin silap saya. Dan pastinya kawan-kawannya akan terus membenci saya.

Terasa juga kematian menjemput sewaktu krisis ini berlaku.
Saya bingung. Tak tahu nak buat apa.
Saya berserah sahaja kepada Allah. Mohon keampunan sebanyak-banyaknya.
Kita manusia. Kita pelupa.
Dia juga pernah berpesan,
"Kadang-kadang kita nampak perkara yang baik, hakikatnya ia perkara yang buruk."

Langit bertukar jingga.
Matahari semakin tenggelam ke lautan.
Sinarnya semakin pudar, seperti kenangan setahun ni.
Asalnya cerah, keceriaan dan tawa riang menjadi teman.
Akhirnya pudar, dipenuhi dengan tangisan.

My lucent orb is fading bright..

Apa tu ALTERNACURA?

Sedap kan bunyinya? Itulah nama saya dalam bahasa Itali.
Nama yang saya selalu guna dalam blog, emel, dan yang sewaktu dengannya ialah NAT CURE.
Bagi yang belum tahu, Nat Cure ialah singkatan kepada Natural Cure.

NATURAL CURE = NAT CURE = ALTERNACURA = CURA NATURAL (Spanish)

Kenapa saya pilih nama ni?
Nama ni mengingatkan saya kepada "Spirit and Voice of the Forest."
Walaupun saya ambil jurusan kejuruteraan elektrik, tapi minat saya lebih kepada botani.
Saya cintakan pokok dan tumbuh-tumbuhan.
Idea asal blog ni ialah warna hijau. Tapi cuba buat kelainan.
Logo Berry tu saya kekalkan.

Natural, derived from the word Nature.

(Baca lagi..)

Inilah Subuh terakhir aku di sini. Solat Subuh terakhir untuk sesi ini.




Sekitar 8 pagi.
Aku menjamah mi goreng yang Uzair panaskan.
Hari ini ialah hari terakhir kai di sini.
Di Kolej Matrikulasi Kedah.

Saya akan ambil test USM hari ni.
Kemudian angkut barang, dan tinggalkan KMK..

Tak jauh dari tangga masjid, kelihatan seorang pelajar perempuan bertudung labuh di tepi masjid.
"Alamak.." kataku
Namanya Jue. Boleh juga dipanggil Cikgu Jue.
Semalam saya menipu si Jue ni.
Saya kata saya dah balik semalam.
Saya perlu elak berjumpa dengan "seseorang".
"Dia" nak pulangkan diari saya, tapi saya taknak terima.
(Ada sebabnya kenapa saya serahkan diari saya kepada "dia"..
Tapi saya rasa lebih baik saya dan Ju yang simpan kisah ini..)

Terpaksa bohong. Bohong sunat..

Ju pandang saya. Mungkin dia faham kenapa saya tipu dia.
Ju bersalam dengan ayahnya. Ju orang Johor. Nak balik rumah memang jarang-jarang.
Saya duduk Selangor pun balik musim cuti je.

Keluarga saya sampai KMK sekitar jam 10 pagi.
Saya bersalam dengan mereka. Kali terakhir jumpa sekita bulan Januari. Sekarang bulan April.
Saya angkut barang ke Avanza.

Kemudian ke tandas masjid sebelum ambil test USM.

Kemudian ternampak rakan sekelas. Namanya Fahimah.
Dia berdiri berdekatan dengan sebuah kereta.

Nanti sekejap. Kalau Fahimah ada kat sini, maknanya..
Aku cuba tenung dalam kereta itu.
Terlihat sepasang mata memerhatikanku.
"DIA!!!"

Tapi dia sepatunya balik semalam..
Apa dah berlaku ni?

Atau bukan dia..
Aku fikir yang bukan-bukan..

Selepas tamat ujian USM, aku berlari ke masjid.
Aku bersalam dengan semua kawan-kawan di masjid.
Pertemuan terakhir kami.
Sampai la ni tak pernah lagi jumpa diorang..


Aku menjengah ke luar masjid..
Melihat pamandangan di sini untuk kali terakhir..

Kemudian, aku disapa.
"Ashraf, anta nampak ayah ana tak?" tanya Ju.
Aku pusing di sekitar masjid. Tak jumpa.
"Tak jumpalah Ju.."
"Hum.. Takpelah.."
Kami sempat berbual, sambil tersenyum.

Tak jauh dari tempat kami berdiri, seseorang perhatikan kami.
Aku tak perasan kehadiran "dia", hinggalah aku diberitahu sebulan kemudian.

Memang sah, dia belum pulang. Dia masih di sini. Dia perhatikan aku.

Avanza mula bergerak. Dan meluncur laju meninggalkan KMK.

Aku rasa, banyak benda baru aku pelajari di sini.
Aku mula mengenal Islam. Islam bukanlah "sekotor" yang aku bayangkan.
Di sinilah terjalinnya ukhwah antara kami.
Dan aku kagum dengan semangat juang mereka menegakkan kemuliaan Islam di KMK..

Tak lupa kepada kenangan-kenangan pahit..
Kepahitan ini yang membuatkan memoriku tentang KMK menjadi hitam..
Kehadiran"nya" menghancurkan hatiku..

Kami berdua yang mulakan, dan kami perlu berani tanggung risikonya..
"kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai"..


Di sinilah lahirnya sebuah cita-cita
Menjunjung misi negara tercinta
Demi bangsa dan agama
Menjadi harapan kita bersama

Lahiranmu satu kemegahan
Berbudi bahasa wadah kebanggaan
Nilai murni menjadi amalan
Dihayati segenap lapisan

Sains teknologi menjadi sandaran
Berilmu, bermaklumat dan berwawasan
Pemangkin tingkatkan modal insan
Sahut cabaran dunia tanpa sempadan

Kolej Matrikulasi Kedah
Perjuangkan bangsa bermaruah
Jati diri hadapi saingan
Kualiti menjana kecemerlangan

This is it. The last day.
I really really REALLY hope that I can spend more hours with mama and abah..
Kata orang, setiap pertemuan, ada perpisahan.
Adanya perpisahan, berlaku pertemuan.
Dengan perpisahan, kita lebih hargai orang yang dekat dengan kita.

Sekitar jam 12 tengah hari.
Saya membelek jam yang baru dibeli. Harganya RM 10. Jam tangan berharga RM 10.
Lain kali, jangan tinggalkan jam tangan.

Barang-barangku telah "diangkut" ke dalam bilik baru ni.
Habuk belaka. Bilik ni berhabuk, bukan barang-barang saya.
Selesai sudah sesi pendaftaran, dan secara rasminya, saya pelajar baru Program Matrikulasi di Changlun.
Dan akan duduk sini sampai setahun. SETAHUN? ARGHH!!!
Bagi saya, inilah penjara terbesar yang pernah saya lihat..
Pagi tu saya perlu berpakaian kemeja putih ada belang, seluar slack hitam, dan kasut kulit hitam.
Selesai pendaftaran, saya dengan mama dan abah duduk di bilk baru saya - A2 T1 14B.

"OKlah, mama dengan abah nak balik.." kata abah.
Dunia seakan-akan berhenti berputar pada paksinya.
Aku pandang ke lantai. Tiba-tiba terasa berat nak pandang mama dan abah.
"As duduk sini ye.."

>>> Seluruh isi rumah, dan sanak saudara panggil saya As.
Tak ramai tahu, tapi lepas baca ni, ramailah yang tahu..
Btw, Kakak Naffisah je satu-satunya orang luar yang guna nama ni untuk refer saya.
Betul tak, kakak Ieecha?

Mataku mula menakung air mata.

Kami turun tangga.
Aku harap saat ini tak berlaku. Rasa setiap langkah mula jadi perlahan.
Terkenang zaman sekolah rendah, abah bawak ke sekolah, perhatikanku menyorok bawah meja cikgu.
Masa ni masa main dengan kawan-kawan. Kat rumah, siaplah, kena sembur.
Tapi abah dengan mama marah ada sebab.
Sebab nak kami jadi orang.

Hari ni antara hari aku ditakdirkan menjadi "orang".
Kalau tak ditinggalkan hari ni, bila lagi?

Kami sampai di kereta.
Mama datang dekat, dan menghulurkan tangan.
Aku salam dan kucup tanagan mama.
"As baik-baik ye.."
Dari suara mama, aku tahu mama sedang menangis.
Mama peluk aku kucup pipiku. Sambil menangis. Aku turut menangis.
Tak mungkin aku boleh sorok perasaan ni.
Bila kali terakhir aku dipeluk?
Jarang anak lelaki peluk ibu dan bapanya.
Kemudian abah. Aku salam dan kucup tangan abah erat-erat.
Kemudian abah peluk aku.
Aku tahu aku tak berapa rapat dengan abah.
Tapi bila abah sanggup bawa aku lebih 700 km meninggalkan rumah, aku tak terkata.
Waktu tu, aku sedar.
Ibu bapaku sayangkan aku lebih daripada aku menyayangi mereka.

Mampukah aku membalas apa yang mereka beri?

Kami bertiga menangis.

Aku sempat melambai, sambil memerhatikan Toyota Avanza menyusur di jalan meninggalkan blok ini.
Kemudian belok ke kiri, dan lenyap dari pandangan mataku.

Air mataku mengalir deras.
Aku meraung sekuat hati.

Memori Ilusi ialah nama baru blog ini.
Kenapa saya pilih nama ni?
Memori ialah perkara yang berlaku pada masa lepas.
Ilusi ialah perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.
Saya ambil ayat ni daripada ruangan editor Solusi isu perdana (isu 1).

Saya cuba design sendiri untuk blog saya, dan inilah hasilnya..
Belum habislah, sebab banyak lagi benda kena buat.

(Sebab tu saya senyap akhir-akhir ni.)

Kisah saya ke matrik belum sampai ke penghujungnya. Nanti saya cuba siapkan ASAP.

Jangan lupa untuk tinggalkan komen..

>>> Logo yang saya guna di atas ialah sejenis buah. Saya panggil buah tu "BERRY". Selepas ni saya akan gunakan buah ini sebagai tema untuk blog ni.
>>>Berry ni cumil sangat.. Saya ternampak dalam game Pokemon Heart Gold.. Dan terus jatuh hati.. Kemudian saya design sendiri BERRY ni..

(Baca lagi..)

"Alamak!!"

"Kenapa?" tanya mama.

"Nat tertinggal jam tangan.."

Kami berada di stesen minyak Mobil - sekarang Esso - belum sampai bandar Klang pun.

Jam tu abah dengan mama bagi, sebab skor SPM. Saya dapat 6A1 2A2 2B3.
(Pelajar bumiputera harapan sekolah :) )

"Takyah patah balik, ye?" kata abah.
Abah kata mungkin ada hikmahnya. Yelah, kalau patah balik, mungkin kemalangan.
Wallahualam..

Nat : (muka monyok..)

Saya pandang ke tingkap. Teringat jalan yg aku lalui.
Bus stop tak jauh dari sekolah. Saya akan tunggu bas kat situ setiap kali tamat waktu persekolahan, dan pergi ke pusat tuisyen Era Tinta.

Teringat satu peristiwa...
"Fredy, dongak kepala kau, macam pakcik tu!"
Sahabatku ini gila sweater. Panas2 pun pakai sweater. Baunya, jangan cerita.
Ada seorang pakcik yang x berapa betul - bukan gila - pun pakai sweater, dan kepalanya sentiasa dongak ke langit.
Kami ketawakan Fredy (sebab samakan dia dengan pakcik tu).

Teringat masa mengayuh basikal. Saya pernah terjatuh di simpang itu, gara-gara membuat aksi mengayuh basikal sebelah tangan - dan bersilang. PAP! Jatuh.. Tapi tak luka. Alhamdulillah..

"Nat, ok ke?" tanya Amir yang sedang berjalan kaki pulang ke rumah selepas waktu persekolahan.
"Ok je.." (ouch!)

Tiba-tiba, rasa sebak..

Saya membesar di daerah ini. Dunia saya hanya sebesar Klang, Shah Alam dan Kuala Langat. Saya tak pernah pergi lebih jauh.

Hari ini, aku akan melangkah ke dunia yang lebih luas. Ya, ke hujung dunia.. hujung Malaysia sebenarnya.

Dan tibalah di sempadan Perak. Kemudian menyusuri lebuh raya di Perak yang memakan masa berjam-jam. Bangun, tidur, bangun, tidur, masih di Perak..

Kami berhenti di Sungai Siput - kalau tak salahlah. Saya tak ingat nama tempat tu.
Kami bertiga makan di pondok. Mama masak nasi impit dari rumah. Jimat duit. Kami bukanlah keluarga yang suka berjalan jauh, jadi tak biasa makan di luar.
Abah berehat sekejap di pondok tersebut.

Kebetulan bertemu dengan orang yang pernah ke Changlun. Katanya di sana ada hotel murah. Mengikut rancangan asal, kami sepatutnya berkhemah (???). Saya tak buat lawak.. So, kami pun cuba2 untuk mencarinya..

Selepas solat Zohor, kami meneruskan perjalanan..

Sampai di Pulau Pinang - tapi tak nampak pulaunya..
Saya terpandang sebuah bangunan di tepi lebuh raya - KOLEJ MATRIKULASI PULAU PINANG.
WAHH!!! Besarnya!
Macam mana rupa Kolej Matrikulasi Kedah?

Kemudian, kelihatan dataran hijau di kiri dan kanan jalan..
Ya, inilah jelapang padi. Kami tiba di Kedah.
Kali pertama nampak jelapang padi.
Saya menangis - terharu.



Alor Setar, Jitra, Hutan Kampung, dan akhirnya, Changlun.
Ada signboard di lampu trafik kedua, tertulis, KOLEJ MATRIKULASI KEDAH.
Kami semakin dekat. Tapi abah mahu terus ke utara, mencari hotel.

Mula-mula jumpa hotel ni. Bila masuk, wangi semacam. Ada tertulis perkataan PENUH.
Kami turun meninggalkan hotel tersebut. Kalau tak salah, itu tempat "ayam dan ibu ayam". Baunya pelik sgt. Huhu..

Kami ke utara lagi, tak jauh daripada Bukit Kayu Hitam.
Dan terjumpalah rumah tumpangan.. Kami menginap di sana. Kemudian beli burger, untuk makan malam. Mama telefon keadaan rumah. Diorg kate ok je.

Aku baring di katil. Esoklah harinya.
Malam ini malam terakhir aku bersama mama dan abah.
Esok, kami akan berpisah..
Perpisahan pertama kami..
Aku belum pernah tinggalkan mereka berdua..
Teringat kat Abang Am, Annas dan Anis..

Air mataku mengalir membasahi bantal.

Aku memakai t-shirt putih yang baru dibeli. Di tengahnya ada warna kelabu. Sekali pandang aku kelihatan memakai dua helai baju. Tapi baju tu dijahit dengan kain kelabu. Sebenrnya sehelai sahaja. Ada tulisan EXILE. Inilah baju kegemaranku. Dan berseluar khaki berwarna putih.

Aku suka warna putih..

Semua barang dah dimasukkan dalam kereta Toyota Avanza berwarna biru metallic. Kereta ini dibeli pada hari lahirku, kalau tidak salah, ketika berada dalam tingkatan empat.

Sebentar saja lagi, kami akan bertolak.. Dan aku akan jauh daripada keluargaku selama tiga bulan..

Aku perhatikan bilikku, nak check, takut tertinggal barang. Dan katil ini akan sepi tanpa penghuni.. (Tapi kadang kala adik lelakiku akan baring di sini, dan aku sering menengkingnya..)

Kemudian ke ruang tamu. Aku terpandang telefon yang tergantung di dinding.
AH! Baru teringat!
Aku belum memberitahunya!

Nanti, tunggu dulu..
Aku akan laksanakannya kemudian.
Mata ku liar mencari barang-barangku, dari ruang tamu hingga ke dapur, hingga ke garaj. Garajku menempatkan motorsikal dan basikal kami semua.
Tiada apa lagi yang tinggal, aku harap..

Adik-adikku di ruang tamu, sedang menonton kartun pagi Ahad.
Mama pun berkata "Salam abang Nat, lepas ni dah susah nak jumpa.."
Adik-adikku - seorang lelaki dan seorang perempuan - bersalam denganku.
Kemudian, aku bersalam dengan abangku.

Inilah kali terakhir, dalam tiga bulan ini, kami bersemuka.
Tiba-tiba rasa sedih..

Barang-barang memenuhi setiap inci kereta abah. Jadi, hanya abah, mama, dan aku sahaja akan ke Changlun. Terpaksa berpisah dengan adik-beradik lebih awal.

Kemudian, aku memegang kucingku, dan meminta maaf kepadanya kerana selalu memijak ekornya. Haha.. Dia kata dia maafkan.. HAHAHA



Dan rumah ini pasti menjadi sunyi..



Aku keluar, melihat sekitar kawasan rumah. Sebuah taman kecil yang aku usahakan sejak tamat SPM. Ada yang sudah berbunga. Aku pasti adik perempuanku akan menjaganya dengan baik.

Kemudian, aku melihat padang di belakang rumah. Kadang kala budak-budak di sini sepak bola sehingga terkena bumbung rumahku. Tak lupa juga yang menyebabkan paip rumahku pecah..
Aku jarang bermain di sini, kerana aku jarang keluar rumah.
Tiba-tiba sahaja kenangan lama muncul..
Ah, budak-budak tetap akan membesar..




Aku kembali ke rumah, dan abah bersedia untuk menghidupkan enjin kereta. Aku bergegas ke dalam. Untuk laksanakannya.

Aku cepat-cepat angkat gagang telefon, dan dail beberapa digit nombor.

"Hello?"
"Hello.."

"Hui Ling ada?"
"Sekejap ye.." barangkali ibunya mengangkat.

"Hello" katanya.
"Hui Ling..", kataku, sambil tersenyum.

"ABC tadkde bos.."
"Tapi kami ada cendol."

"Oklah.. cendol dua."
kata abah kepada pelayan tersebut.



Aku dan abah berada di dalam restoran mamak, tidak jauh dari simpang empat di Telok Pulai. Dan juga tidak jauh daripada sekolah tercinta, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong.

Asalnya, petang itu kami akan mengambil gambarku yang telah dicuci. Aku akan memerlukannya untuk borang-borang matrikulasi. Tapi abah mungkin terpandang restoran ini dan mengajakku makan bersama. Kami makan menu yang sama, mi goreng mamak dan cendol.

Aku bukanlah seorang yang suka bercakap sejak zaman persekolahan. Dalam kelas pun aku suka buat hal sendiri, sehingga ramai memanggilku sombong. Dan aku juga jarang bercakap dengan abah. Aku tidak tahu kenapa.

Petang itu, kami makan sambil berbual. Abah banyak bertanya, dan aku hanya menjawab sepatah demi sepatah. Dan abah pesan jangan beritahu siapa-siapa di dalam rumah yang abah belanja aku makan, takut ada yang iri hati. Aku bukanlah berasal dari keluarga yang berkemampuan. Makan di luar ialah perkara yang jarang berlaku dalam keluarga kami. Aku faham keadaan keluargaku.

Aku menyuap cendol. Inilah kali pertama aku makan cendol di sini. Sudah lama tak makan cendol. Apa yang aku tahu, Klang terkenal dengan cendol. Betul ke? Aku tak pasti.

Sebenarnya, inilah kali terakhir aku makan berdua bersama abah di luar. Tinggal beberapa hari sebelum abah, mama dan aku bertolak ke Changlun. Dan bermula dari sinilah, setiap kali pulang ke rumah selepas merantau, aku pasti mencari cendol di pasar malam. Sebuah tradisi baru bagiku.

Di utara juga terkenal dengan cendol - Cendol Pulut. Aku pernah memakannya dengan durian, tapi tidak sanggup menghabiskannya. Manis sangat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...