28 Jun 2010, Isnin
Buat pertama kalinya saya menerima sebuah "tamparan" yang paling hebat sepanjang hidup saya.
Sekaligus membuatkan saya kembali sedar dan mula berpijak di bumi nyata.
Ia adalah lumrah kehidupan. Setiap insan pasti pernah menerimanya.
"Tamparan" itu bernama KEGAGALAN.
Saya tidak pernah merasai erti KEGAGALAN yang sebenar, sehinggalah tiba tarikh ini.
Saya gagal dalam ujian memandu.
Akademik
Sepanjang saya bersekolah rendah (sejak tadika, malahannya), saya belum pernah menerima dakwat merah dalam kad laporan peperiksaan.
Tahun demi tahun, secara jujurnya, saya berasa sangat "kebal".
Berdiri sebagai seorang yang tak pernah gagal.
Sehingga saya berasa hairan terhadap manusia yang pernah gagal dalam peperiksaan.
Adakah mereka tidak belajar?
Bukankah peperiksaan itu mudah?
Semakin hari saya semakin dewasa.
Belajar lebih banyak tentang kehidupan.
Saya juga belajar untuk menyelami hati insan yang pernah gagal.
Ada yang bekerja separuh mati, hanya untuk menanggung keluarga.
Dan terpaksa mengabaikan pelajaran, walaupun sedang bersekolah.
Mungkin ada yang memandang sinis terhadap mereka.
"Waktu belajar, belajarlah! Kenapa perlu bekerja?".
Ingat.
Bukan semua manusia itu lahir sama dari segala aspek.
Hakikatnya, kita patut rasa bertuah dan bersyukur dengan nikmat yang Allah beri.
Saya masih tidak faham apa itu KEGAGALAN.
Kerana saya tidak pernah merasainya.
Pagi ini, saya akan melalui ujian memandu motorsikal.
Lesen kereta, saya sudah ambil sewaktu sebeblum masuk matrikulasi lagi.
Dan saya tidak perlu mengulang, kerana lulus kedua-dua bahagian (litar dan jalanraya).
Keputusan hari ini:
Litar: GAGAL
Jalan raya: GAGAL
Untuk litar, saya jatuh dari titi.
Dan untuk jalan raya, saya digagalkan atas alasan "Tidak memakai topi keledar dengan cermat"
APAKAH???
Saya gagal kedua-dua bahagian.
Ertinya saya perlu mengulang kedua-dua bahagian.
Sebaik sahaja pulang ke sekolah memandu, saya diminta untuk mendaftar minggu hadapan.
Dan juga belajar semula pada pagi Khamis ini.
(Khamis ~ belajar. Isnin depan ~ ambil ujian lagi)
Pulang saja ke rumah, saya menangis, sehingga tertidur.
Akhirnya, saya faham apa itu KEGAGALAN.
Memang tiada siapa yang sempurna.
Dapat mengulang tak bermakna kita bodoh.
Ia merupakan sebuah peluang, kerana peluang tak semestinya datang dua kali.
Malam itu, abah pesan, supaya belajar pada Khamis ini.
Mahirkan semuanya, sebelum ambil ujian lagi.
Dan buat yang terbaik untuk ujian akan datang.