3 Julai 2011, Ahad
Saya, mama dan adik perempuan pulang ke kampung di Kapar, Klang, Selangor.
Tak jauh dari rumah, lebih kurang 30-40 minit perjalanan.
Hari ini ada majlis cukur jambul di rumah saudara.
Entri kali ini bukan bercerita tentang majlis tersebut.
Tetapi saya ingin berkongsi tentang kisah seorang anak kecil yang secara peribadinya mendapat tempat tersendiri dalam hati saya.
Saya mula mengenali insan kecil ini beberapa tahun lepas, tapi saya sangat terkejut apabila melihatnya hari ini.
Anak kecil itu semakin besar.
Dan kami memanggilnya "Mia"
Selepas habis kerja di dapur, saya bergerak ke ruang tamu untuk menonton Astro.
Sekadar menghilangkan kebosanan (tak tahu nak bercakap dengan siapa sebenarnya. Takde geng.)
Sedang Mia berjalan-jalan di ruang tamu, dia mengambil sebuah bakul di atas lantai.
Dan segera datang ke arah saya.
"Ini apa?" tanya Mia.
Saya senyum.
"Ini bakul sampah."
Anak kecil itu mempunyai "sense of curiosity" terhadap persekitarannya.
Mia sedang melalui proses pembelajaran peringkat awal.
Dan Mia rasa sangsi.
Bakul tersebut sangat cantik, tiada plastik sampah.
Dan dihiasi dengan corak kucing, dan warna-warni.
Sekali pandang, ia bukanlah bakul sampah.
Sekali lagi, dia bertanya.
"INI APA?"
Saya sama sekali tidak berbohong.
"Ini bakul sampah."
Dan dialog ini berulang untuk beberapa kali.
Saya tidak rasa jemu untuk menjawab.
Dan saya kagum, kerana Mia suka bertanya.
Menurut mama, saya sangat petah berbicara sewaktu kecil.
Orang tua pun seronok layan saya.
Dan antara dialog yang agak menggelikan hati:
Pak cik : Dah besar nak jadi apa?
Saya: Nak jadi PROFESSOR!!
Umur saya pada waktu itu sekitar 4 tahun.
Kemudian datang pula sepupu yang lain, mahu rampas "bakul sampah" tersebut.
Dia meminta dengan cara baik.
"Aku nak ni. Aku nampak dulu" kata sepupu tersebut.
"Aku nampak dululah..." kata Mia.
Dan berlakulah pergelutan merebut BAKUL SAMPAH.
Sampai tergolek-golek.
Sewaktu saya kecil, apabila tidur di kampung bersama sepupu-sepupu lain, kami akan main bersama dari pagi sampai malam.
Pernah sekali, kami berebut nak main selimut Mak Yang (nenek saya)
Tarik punya tarik (seramai-ramainya!!) ~ ZAPPP!!!!
Apabila 3 - 5 kanak-kanak main tarik selimut,, itulah yang sering berlaku.
Sampai satu tahap, apabila kedua-duanya berhempas pulas di lantai, saya sebagai orang yang lebih tua mesti hentikan pergaduhan tersebut.
Saya rampas bakul sampah, dan pegang.
Mia berlari-lari dan terus memeluk saya.
Saya ketawa. Jarang dipeluk dan memeluk kanak-kanak lain.
Setelah merampas dari saya, keadaan tidaklah setegang tadi.
Mia pun senyum kepada saya.
Wajahnya sangat manis.
Lalu bakul sampah itu diletakkan ke kepala, dan menutup wajahnya.
Kami, sepupu lain, ketawa sekuat-kuatnya.
Mia sangat obses dengan bakul sampah tersebut.
Saya pun terasa ingin lebih mengenali siapa anak kecil ini.
~ Saya sebenarnya tak berapa suka budak-budak.
Kuat menangis. Cerewet. "Kebudak-budakan".
Tapi dalam kes Mia ni, saya seolah-olah jadi "orang lain".
Terasa sebuah "fitrah" lahir dari dalam diri.
Apabila keadaan semakin sunyi, dan orang ramai keluar untuk makan di khemah, Mia bersendirian di depan televisyen.
Dia bergerak ke dapur, mencari kawan yang lain.
Dan berhenti di meja makan, setelah terlihat sebuah permainan basikal kecil.
Mia mengusik kaki di bahagian pengayuh permainan tersebut.
"Mia, sinilah.." kata saya mengajaknya duduk di kerusi.
Mia pun duduk. Saya membelai rambutnya yang hitam dan halus. Dia senyum.
"Mia berapa tahun?"
Dia pandang saya, dan jarinya meluruskan empat jarinya.
Tidak berkata apa-apa.
"Mana mama?"
Dia diam. Sebetulnya, ibunya ada kerja, dan tak dapat hadir.
Hanya bapanya yang hadir membawa Mia.
Sepanjang hari itu, saya rasa seronok melayan kerenah Mia, dari pagi sampai lewat petang.
Sehinggakan saya boleh terpacak depan televisyen selama hampir 2 jam menonton filem Doraemon di Astro Ceria, hanya untuk menemani anak kecil itu.
Kanak-kanak, secara fitrahnya mereka sangat suci.
Hati saya mula terbuka untuk menerima mereka dalam kehidupan.
Bahkan Rasulullah S.A.W. sendiri sangat memuliakan kanak-kanak.
Terima kasih, Mia...
(Tiada gambar. Saya sengaja tak bawa DSLR saya. And I lost lots of great moment.. sob2x)
WW: Kopi Tenggek Tanjung Piai
4 days ago
0 comments:
Post a Comment