June 5 2024, 10.26 pm



Saya sangat teruja apabila terlihat gambar ini di facebook beberapa minggu lepas.

Wow! Keluar jugak koleksi ni!

Setelah bertahun-tahun sabar menanti, akhirnya saya berpeluang menghyati karya ini.

Generasai muda sekarang mungkin tak kenal karya legenda ini.


*****

Karya oleh kartunis Uni ini mula disiarkan di majalah Ujang pada Julai 1994 sehingga April 2002. Maksudnya daripada zaman saya belum masuk tadika sampailah nak ambil UPSR. Saya membesar dengan majalah Ujang yang dibeli oleh arwah ayah saya setiap bulan, dan komik Aku, Dia & Volkswagen ni agak sinonim dengan majalah ini.

Cumanya, saya tak ikut sangat cerita ini sebab kisahnya agak dewasa untuk saya yang bersekolah rendah. Jadi saya tak dapat faham apa yang mahu disampaikan dalam komik ini.

Komik ini juga tak pernah dihabiskan sebenarnya. Ceritanya yang tergantung membuatkan ramai tertanya-tanya apa penamat cerita ini sebenarnya.

Beberapa tahun berlalu, apabila saya mula menginjak usia dewasa, saya mula terbaca semula kisah ini di media sosial dan betapa rindunya peminat kartunis Ubi ini mahu melihat komik ini diterbitkan semula. Satu isu yang saya syak ialah isu hakcipta yang entah kenapa sangat ketat. Karya ini sebenarnya hak milik mutlak pihak penerbitan. Atas alasan apa pun, ia tidak boleh dipulangkan semula kepada kartunisnya. Sedih kan? 

Kemudian saya tak tahu apa yang berlaku.Tiba-tiba boleh dicetak semula. Bertahun-tahun berlalu, akhirnya terubat juga rindu peminat. Saya sendiri pun sebenarnya tak ingat cerita ini tentang apa, dan inilah masa terbaik untuk belajar mengenal Ubi & Zurina.

Pada awalnya saya sangkakan ia adalah sekadar kompilasi 3 koleksi sebelum ini (Volume 1 hingga 3), rupa-rupanya kisah ini ada penamat! Ya, dan saya dah lihat sendiri bagaimana penghujung kisah ini!

Kisah ini bermula apabila kartunis bernama Ubi menerima panggilan telefon daripada ibu Zurina. Dan dibawa menelusuri kehidupan Ubi ketika berusia 16 tahun. Keluarga itu baru sahaja berpindah di sebuah rumah dan jirannya ialah kak Zurina & ibunya.

Bermula daripada insiden lori langgar kereta Volkwagen Zurina, Ubi mula menjadi rapat dengan Zurina yang ketika itu berusia 21 tahun, 5 tahun lebih tua daripada Ubi. Zurina mengambil kejuruteraa awam di ITM (sekarang UiTM). Zurina juga ada sisi tegasnya, tetapi penyayang dan lemah lembut dengan Ubi. Ada banyak insiden yang mana Zurina melindungi Ubi daripada dibuli. Macam kakak lindungi adik la.

Kehadiran Zurina dalam hidup Ubi mula mengubah Ubi menjadi seorang yang lebih baik. Ada ketikanya Zurina akan bawa Ubi menaiki Volkswagen arwah bapanya itu bersiara-siar di tempat-tempat tertentu. Mereka berdua bertukar-tukar cerita tentang kehidupan mereka.

Ubi ada isu dengan ibunya. Sering dimarahi ibunya kerana terlalu nakal. Zurina pula ada isu kahwin paksa dengan orang yang bukan pilihannya. Satu ketika, Zurina pergi membawa diri, meninggalkan Ubi tanpa ucapan selamat tinggal. Ubi kecewa kerana tak sempat menghadiahi lampu Volkswagen kepada Zurina setelah menjadi punca ianya pecah satu ketika dahulu.

***SPOILER***

Ibu Zurina berpindah rumah setelah bersendirian tanpa Zurina. Ubi menerima kad ucapan hari lahir ke-17 daripada Zurina yang berada di London. Itulah khabar terakhir daripada Zurina.

8 tahun berlalu, panggilan telefon daripada ibu Zurina menyatakan alamat baharu Zurina. Ubi pulang semula ke rumah menziarahi ibunya sebelum bergerak ke alamat yang disebutkan. Terdapat Volkswagen usang & buruk di hadapan rumah tersebut. Ubi berbual dengan ibu Zurina di ruang tamu. Dia melihat album foto Zurina. Sepanjang 8 tahun itu, Zurina telah pergi banyak tempat di Eropah.

Satu suara mengherdiknya daripada belakang supaya tidak menyentuh album tersebut. Ubi kenal suara tersebut, tetapi suaranya agak sedikit lain. Ubi menoleh, dan terkejut.

Itu sahaja penghujungnya. Pembaca ditinggalkan dengan lebih banyak persoalan. Apa yang dilihat oleh Ubi? Adakah itu Zurina? Atau.... anak Zurina? Kita takkan tahu. Kebiasannya ada perkataan 'bersambung' di hujung setiap episod/part/bahagian, tapi tiada langsung di bawah bahagian terakhir ini. Ini berkemungkinan besar ialah penamat siri ini. Kecewa? Ada la jugak. Tapi mungkin kisah ini lebih baik ditamatkan begini, dan membiarkan pembaca membuah telahan sendiri apa yang berlaku.

Bagi saya, karya ini sangat menarik untuk dibaca kerana menyentuh isu-isu remaja seperti ponteng sekolah, merokok, dadah, memberontak, kahwin paksa & cinta. Zurina tu pun agak watak yang ideal seperti amlaikat untuk seorang wanita, sehinggalah dia melarikan diri. Pembaca akan mula sedar bahawa Zurina tetap manusia biasa yang ada masa dia pun menangis. Kalau isu kahwin paksa mungkin dianggap lapuk sekarang ni, tapi tidak ketika zaman ketika komik ini diterbitkan. Kisah ini bermula pada tahun 1991, yang mana pada 1999 Ubi bekerja sebagai kartunis. Telefon bimbit pun masih jarang-jarang dimiliki oleh orang awam, apa lagi telefon pintar. Internet & media sosial pun belum wujud. Pemikiran orang dewasa ketika itu belum cukup terbuka dan paksa anak kahwin muda.

Satu perkara yang saya suka tentang karya ini ialah perasaan cinta yang sangat ikhlas & suci. Ubi & Zurina yang ketika itu meniti usia remaja & awal dewasa berkongsi perasaan yang sama. Walaupun Zurina lebih berusia & matang, hakikatnya beliau ada bagi 'hint' yang beliau juga suka kepada Ubi, dan mereka berjanji untuk berkahwin bersama seandainya mereka berdua masih bujang walaupun menginjak usia 40 tahun. Mungkin nampak macam janji budak-budak, tetapi untuk dua orang 'budak' ni, cinta ialah dunia mereka yang sangat besar.

Koleksi ni boleh dibeli di sini.


Sekian daripada saya.

Terima kasih.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...