December 9 2023, 4.12 PM



Saya terjumpa istilah NEET ni dalam drama bersiri Jepun bertajuk ‘Marry Me!‘. Drama ini merupakan adaptasi daripada manga.  Dalam drama ni ada disebutkan tentang  ‘NEET Protection Law‘. Dan saya sangkakan NEET ni ialah istilah fiksyen yang dicipta dalam manga ni. Rupa-rupanya istilah NEET ni memang wujud di alam nyata, cuma tidak digunakan di Malaysia.


NEET merujuk kepada kepada ’Not in Education, Employment, or Training’. Mungkin kalau konteksnya di Malaysia, saya boleh kelaskan sebagai golongan keciciran yang tidak memiliki SPM atau SVM. Jumlah NEET meningkat saban tahun di Jepun, dan angka ini semakin merisaukan negara Jepun. Undang-undang yang ada pun tidak benar-benar berkesan untuk menjaga kebajikan mereka.

Akibatnya, golongan NEET ni rasa terpinggir, malu untuk muncul dalam kalangan masyarakat. Bahkan ada yang menuduh mereka malas. Di sebalik negara yang sangat maju ni, masih ada kisah golongan mereka yang  keciciran. Sebagai contoh, saya pernah dengar hidup di Tokyo agak sukar kerana kos sara hidup yang sangat tinggi. Rumah-rumah di sana juga bersaiz sangat kecil supaya memudahkan penyewa untuk membayar sewa. Tanpa pekerjaan yang bagus, agak sukar untuk bernafas di sana. Dan pekerjaan yang bagus hanya boleh dikecapi dengan tahap pendidikan yang tinggi. Belum cerita lagi persaingan sesama graduan yang dahsyat. Kalau yang berpendidikan tinggi pun sukar medapat kerja pun, apalagi mereka yang keciciran dalam pendidikan. Mungkin inilah faktor peningkatan NEET di Jepun.

Saya berpendapat, drama ni cuba untuk buka mata masyarakat Jepun bahawa NEET ni juga manusia biasa dan berharap penonton menghadirkan rasa empati kepada mereka.

Drama ini berkisar tentang Himari Sawamoto yang membesar bersama datuk dan neneknya. Himari kehilangan kedua-duanya, dan mula hilang erti untuk meneruskan hidupnya. 6 bulan dia berkurung di rumahnya, dan keluar sekadar mencari keperluan. Temannya hanyalah Momotaro, kucing yang dibela sekitar 15 tahun dahulu. Dia tidak mahu meninggalkan rumahnya dan mencari kerja kerana Momotaro dikira kucing berusia tua, bila-bila masa sahaja dia boleh pergi. Kalaulah Momotaro pergi, Himari tiada siapa-siapa lagi dalam hidupnya.

Shin Akiyasu pula merupakan pekerja kerajaan, dan menolak perkahwinan dalam hidupnya. Sehinggalah dia dipaksa untuk berkahwin menurut undang-undang Jepun melalui NEET Protection Law, atau dia tidak akan dinaikkan pangkat. Undang-undang ini sebenarnya bertujuan untuk membawa NEET keluar daripada status NEET dan bergaul dengan masyarakat. Shin bertemu Himari, dan bermulah kisah perkahwinan kontrak antara mereka.

Dalam keadaan institusi kekeluargaan yang semakin pincang, dan kita asyik dihidangkan kisah poligami, penyondol, curang, dan penceraian, saya berpendapat kisah ini mengajak penonton kembali menilai apa erti perkahwinan dalam kehidupan. Kerana perkahwinan tu bukan saja melibatkan suami dan isteri, tetapi sokongan komuniti sekitarnya seperti jiran, keluarga suami, keluarga isteri, kawan-kawan & juga masa silam mereka.  Mungkin ini drama ini terlalu ideal dan agak kartun bagi sesetengah penonton, tapi saya sambut baik usaha drama adaptasi ni.

Cuma saya agak terkilan, sebab drama ini 10 episod sahaja, dan setiap episod tak sampai 30 minit pun. Jarak masanya sekitar 2 tahun untuk disumbat menjadi 10 episod. Banyak lagi yang penonton mahu tahu, seperti masa silam Himari yang tidak begitu ditekankan sehingglah hujung drama ini. Mengapa Himari ditinggalkan oleh ibunya dibiarkan tanpa jawapan. Mungkin saya terlalu mengharapkan drama ini macam drama Beautiful Life yang penuh dengan emosi. Juga apa sebenarnya yang berlaku antara Shin dan bekas kekasihnya, sehingga dia menolak perkahwinan. Cara diorang putus pun macam tu je. Tapi saya suka sikap Himari yang selalu ceria lepas kahwin, sedangakan dia sebenarnya introvert.

Saya sangat mencadangkan drama ini ditonton oleh semua lapisan masyarakat supaya kita menilai kembali perkahwinan dalam kehidupan kita. Mungkin kita pernah tak bahagia satu ketika dahulu, tapi tidaklah bererti kita takkan temui kebahagiaan yang kita cari.





1 comments:

Interesting. Boleh suggest website untuk tonton cerita ni? (Since Youtube tak ada full story)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...