August 26 2024, 11.40 pm



Saya baru selesai menonton 'Dua Garis Biru', sebuah filem Indonesia yang mengupas isu kehamilan sebelum perkahwinan dan kehamilan bawah umur.

Saya ambil 3 hari untuk habis menonton filem ini. Hari pertama saya menonton 30 minit pertama. hari kedua saya menonton 1 jam berikutnya. Hari ketiga, saya menonton baki 20 minitnya.


Kenapa saya menonton 3 kali? Saya ada satu perasaan yang tak dapat dibendung ketika menonton filem ini, yang membuatkan saya terpaksa berhenti menonton dan perlu tidur sebelum boleh hadam bahagian berikutnya. Dalam bahasa yang lebih mudah, saya ni macam sebuah gelas yang kecil, terpaksa menangguk takungan 'emosi' yang datang bertubi-tubi sehingga air 'emosi' itu melimpah-limpah sebanyak-banyaknya. Dan emosi itu bukan emosi sedih, tapi satu perasaan 'tak selesa' untuk menontonnya. Saya terpaksa kosongkan minda saya daripada emosi itu sebelum boleh menyambung kisah ini.

Kisah ini menceritakan Bima & Dara, kawan baik yang saya yakin diorang ni tak bercinta pun. Lebih kepada kawan baik je. Entah macam mana berlaku satu peristiwa yang membuatkan mereka terlanjur. Dan lebih memburukkan keadaan, Dara mengandung.

Ada beberapa langkah drastik yang mereka cuba lakukan seperti cuba menggugurkan kandungan. tetapi Dara cuba pertahankan kandungannya. Rahsia mereka berdua terbongkar dan diketahui oleh ibu bapa mereka. Mereka berdua bernikah ketika berusia 17 tahun.

Timbul pula isu lain - siapa yang harus membesarkan anak mereka? Bima pastinya terlalu muda untuk menjadi bapa. Dara pula mahu sambung belajar di Korea selepas tamat zaman persekolahan. Ibu bapa Dara mahu menghantar anak itu kepada saudara mereka yang teringin mempunyai anak, tetapi syaratnya Bima & Dara tak boleh dipanggil 'ibu & bapa', melainkan 'pak cik & mak cik' atau 'abang & kakak'. Ibu bapa Bima pula tegas mempertahankan itu ialah cucu mereka.

Agak berat untuk saya hadam situasi mereka, dan inilah puncanya saya terpaksa rehatkan kepala beberapa jam sebelum boleh menonton. Tak boleh bayangkan usia 17 tahun dah mengandung, dan terpaksa jadi ibu bapa.

Mungkin ada yang anggap, filem ni menggalakkan zina. Bagi saya, jawapannya tidak. Memang benar mereka sudah terlanjur atas kesilapan mereka, tapi apa yang lebih penting ialah langkah seterusnya. Dalam keadaan kalutnya mereka merahsiakan kandungan, ketika hancurnya ibu bapa mereka, mereka tetap cuba bersikap rasional. Marah tu hanya sementara, kerana mereka tetap ibu bapa yang menyayangi anaknya.

Bagi saya juga, filem ini seperti memberi jalan kepada mereka yang masih dalam gelap. Mungkin ini ialah medium terbaik untuk menyampaikan satu mesej kepada anak muda sekiranya hal ini berlaku. Juga sebuah mesej kepada ibu bapa mereka apa yang mereka harus buat sekiranya ini berlaku. Boleh saja ibu bapa itu membuang anak-anak mereka, sebaliknya mereka memberi sokongan moral dalam situasi ini. Sejauh mana kita dicampak ke mana-mana sudut dunia, kepada keluargalah kita kembali.

Saya mohon kepada mereka yang mahu menonton kisah ini, cuba buka minda anda seluas-luasnya. Bayangkan anda berada di tempat Bima & Dara, mungkin anda akan mula bersimpati. Budaya orang kita ni suka letak label kepada orang lain, tapi apa yang lebih ditakuti ialah meletakkan label yang salah kepada orang yang lain.

Kepada anak muda, jaga batas pergaulan. Jangan mudah membenarkan yang bukan mahram masuk ke bilik tidur. Perasaan suka itu fitrah, tetapi kawallah tindak-tanduk anda. Andainya terlanjur, bincang dengan ibu bapa. Dapatkan bantuan orang sekeliling.

Kepada ibu bapa, jangan sisihkan atau buang anak itu. Mereka sangat memerlukan sokongan anda. Sesungguhnya didikan pertama itu bermula di rumah.

Saya akan sambung review sekuel filem ini iaitu 'Dua Hati Biru' dalam post seterusnya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...