August 18 2023, 5.35 pm



Dulu saya pernah berpesan kepada diri,

"Aku dah tak nak datang sini lagi".

*****

Semester terakhir tu, saya siapkan macam-macam.

Hantar report Latihan Industri saya kepada junior-junior Kelab Remaja Ukhwah Kolej Tuanku Canselor yangsetahun muda yang rapat dengan saya.

Untuk bagi diorang rujukan waktu nak buat LI atau praktikal nanti.

Saya jugak bagi borang-borang FYP/PSM untuk bagi diorang idea untuk buat projek tahun akhir sem akan datang.


Kenapa saya susah payah nak tolong diorang walaupun diorang tak mintak?


Sebab saya berniat untuk pergi.

Pergi jauh daripada hidup mereka.

Saya nak menghilangkan diri.


Tahun akhir tu, kawan-kawan satu batch nak ambil gambar kami makan bersama.

Saya selalu mengelak daripada diambil gambar bersama diorang.

Sebab saya tak mahu jadi sebahagian daripada memori mereka.

Saya tak mahu dikenang atau wujud dalam memori mereka.

Saya mahu dilupakan.


Saya sendiri pun takde alasan kukuh kenapa saya menghilangkan diri daripada kenalan sekolah menengah & universiti.

Tapi perasaan nak menjauh tu semakin menebal pada sem akhir tu.

"Habis je konvo, aku nak block semua orang. Aku nak tutup facebook. Takde lagi 'Nat Cure' dalam hidup diorang"

Konvo pada Oktober 2013.

Tutup facebook 30 November 2013.

Block hampir semua nombor kenalan.

Hilang secara rasmi pada 1 Disember 2013.

*****

Rupa-rupanya hampir sedekad berlalu sejak habis belajar kat UTM.

Dan takdir seakan-akan 'menarik' kembali saya ke sini.

Untuk melunaskan apa yang tertangguh selama 10 tahun itu.

Saya geledah barang-barang lama saya di rumah. Dan terjumpa 3 buah buku. Satu saya pinjam dari surau. Dua buah saya pinjam dari Reading Station, sejenis rak buku yang bersepah di seluruh UTM hasil derma daripada warga UTM.

Saya perlu pulangkan buku-buku ni. Tapi saya ni takut memandu kereta dulu. Nak naik bas pun rasa tak berbaloi semata-mata nak pulangkan buku-buku ni.

Buku ni kekal tersimpan dalam kotak di rumah hampir sedekad.

Entah macam mana, ekoran apa yang  berlaku di tempat kerja, saya terus bagi surat perletakan jawatan. Kembali menganggur satu tahun setengah sebelum dapat kerja baru.

Dan tempat kerja baru minta saya ke Senai selama seminggu.

Allah aturkan semuanya dalam ilmu yang tidak saya fahami. UTM hanya setengah jam perjalanan daripada hotel yang saya tinggal.

Saya pun teringat kepada buku-buku yang saya pinjam. Dan bawa semuanya bersama.

Hari ni Jumaat, hari terakhir saya di Senai. Sebelum pulang ke Klang, saya ke UTM dahulu.

Satu demi satu memori kembali menerjah.

Tak sangka dapat pulang ke sini.

UTM tak boleh masuk pada hari cuti (Jumaat & Sabtu). Dah tak sebebas dulu. Tapi saya bagitau abang polis tu, saya nak pulangkan buku.

"Datang dari Klang semata-mata nak pulangkan buku?"

Abang tu mintak lesen saya, dan bagi pas pelawat.

Saya pusing sekitar kawasan blok pertama saya, S40.

Pusing ke Kolej Perdana. Lalu depan kedai Azah. Kemudian S05, blok terakhir saya. Dan S10, blok tahun dua. Kat sinilah kali terakhir saya jumpa arwah abah dalam keadaan sedar sebelum koma.

Ada banyak loker baru di hadapan blok masing-masing. Mungkin nak ganti loker lama.

Dan sampai di S01. Saya jalan-jalan sekitar pejabat. Lalu depan Dewan Astana. Kemudian, ke surau. Saya letakkan satu buah buku di sana.

Rindu surau ni. Tempat lepak saya dengan senior-senior & kawan-kawan saya.

Saya turun, dan cari Reading Station di pejabat KTC 

Dah takde!

Habis tu, 2 buku ni nak letak mana?


Saya masuk dalam kereta.

Entah kenapa, saya terus hantar gambar-gambar terkini kolej kepada kakak senior saya. Beliau je satu-satunya nombor  kenalan UTM yang saya tak pernah block sampai hari ni.


Kata kakak senior tu, "Sireh pulang ke gagang ni".

Betul la tu. Kolej Tuanku Canselor atau KTC ni pernah jadi rumah saya membesar selama 4 tahun.

Saya terus Masjid Sultan Ismail, atau MSI. Sebab kat sana ada Reading Station. Harap-harap ada lagi la. Saya parking berdekatan Perpustakaan Sultanah Zanariah, atau PSZ.

"Baik hantar terus buku ni ke PSZ."

Saya pun masuk PSZ. Jelaskan situasi saya kepada staff sana.

"Oh Reading Station sekarang dah tak banyak. Untuk beberapa kolej, dah merge jadi satu rak je"

Patutlah dah tak nampak lagi almari buku tu bersepah sekitar UTM.

"Jadi nak pulangkan buku ni la ya?"

"Ha'ah. Dah 10 tahun saya simpan buku tu"

Abang tu pun gelak.


Rasa lapang sangat. Saya naik kereta dan pusing sekitar Fakulti Sains, kemudian pusing sekitar Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Teringat makmal projek tahun akhir tu. Kemudian bangunan kat atas bukit yang jadi dewan exam & jadi bilik kuliah untuk kebanyakan kelas tahun akhir.

Saya kembali ke abang polis tadi. Ambil lesen semula, dan berlalu meninggalkan UTM.


Bila fikir balik, kenalan kat UTM takde buat dosa pun kat saya sampai saya nak block diorang. Diirang takde salah apa pun. Saya yang terasa nak menjauhkan diri. Mungkin, yang salah tu sebenarnya saya. Ada masalah, lari tinggalkan kawan. Suka sangat menyendiri.

Mungkin saya perlu belajar untuk hubungi semula kenalan-kenalan lama ni.

Mungkin saya perlu belajar terima kekurangan diri, sebab saya selalu beranggapan saya tak setaraf diorang. Diorang CGPA bagus, kerja bagus, ada master & PhD, dah kahwin & beranak-pinak. Saya ni takde apa pun. Rasa rendah diri & malu tu yang buatkan saya makin jauh daripada diorang. 

Tapi boleh ke diorang maafkan saya, lepas saya tinggalkan diorang?









0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...