January 20 2026, 9.34 pm


19 Januari 2026


Saya masih tercegat di antara rumah & khemah kenduri.


Kebingungan. Dah 10 minit berdiri kat sini.


"Betul ke ni rumahnya?" bisik saya.


Last sekali buat muka tebal, tanya sorang abang ni.


"Erm.. Saya tak tahu saya kat majlis yang betul. Ini majlis Atikah ke?"


Abang tu mengerutkan dahi. Macam tak pernah dengar nama tu.

Alamak, aku salah rumah ke?


"Nuratikah?" tanya dia.


"Ha'ah, ya! Nuratikah!" jawab saya.


Saya jadi pelik sebab guna nama penuh.


"NURATIKAH!!! NURATIKAH!!!"


Hish abang sorang ni. Dia jerit nama Atikah sampai semua orang dalam 2 khemah yang penuh dengan manusia tengok saya. Malu gila.


"MEK!!!" jerit abang tu. Aku dah makin tebal muka walaupun tak pakai mekap.


Abang tu panggil Mek. Mungkin tu panggilan dia dalam kalangan keluarga ni.


Dan dalam ramai-ramai perempuan baju kurung ungu yang berkumpul depan khemah tu, saya nampak kelibat dia. Dia pandang saya. Saya pun pandang dia.


Dunia tiba-tiba macam berhenti selama 5 saat.


Nampak jelas mata dia terbeliak sebesar alam.

"WEI!!! KAWAN AKU!!!" jerit Atikah.


Teruja betul dia nampak saya.


*****


Selepas makan bersendirian di meja kosong, dia tarik kerusi & duduk tak jauh daripada saya.


"Wei, sorry tau. Sebenarnya aku tak ingat nama kau."


Kami gelak sekuat-kuatnya. Ye la, dah lebih 12 tahun saya menghilangkan diri. Tiba-tiba muncul waktu majlis aqiqah anak ketiga & keempat dia. Tapi dia cam je muka saya.


Atikah ni sebenarnya kawan kelas saya. Mungkin sejak kami darjah 3 kami sekelas sampai SPM. Tapi saya memang tak rapat dengan mana-mana budak perempuan. Dia tinggal di Kampung Delek, Jalan Yadi, atau Sungai Udang, saya tak pernah tahu.


Ekceli, dulu saya ni  antara top student kat SMK Telok Gadong tu. Bab akademik memang power. Bab sosial memang ke laut. Saya introvert. Pendiam. Bercakap bila perlu je. Tak suka ada ramai sangat kawan. Lagi-lagi kawan perempuan. Bukan jenis berhibur dengan kawan-kawan lepas habis kelas atau hujung minggu. Sekolah ialah tempat belajar, bukan cari kawan.


Kat sini la saya silap.


Masuk Kolej Matrikulasi Kedah. Masuk UTM. Habis zaman universiti, saya hilang sepenuhnya. Block nombor phone kawan-kawan sekolah, matrik & universiti. Padam akaun media sosial. Lebih 10 tahun juga saya lari daripada masa silam saya. Saya tak pernah contact langsung dengan budak-budak sekolah.


Sampai la saya stalk gambar sorang budak lelaki kawan sekelas ni. Fredy namanya. Dia bergambar dengan geng kelas kami pada malam sebelum pilihan raya negeri Selangor tahun 2023.


Hati saya mula terdetik untuk hubungi mereka semula.


*****


Dah 3 kali kami berjumpa sejak kejadian tu. Lepak kat mamak pada Tahun Baru Cina setiap tahun. Tapi saya minta privasi. Jangan ambil gambar saya. Jangan petik nama saya dalam media sosial. Diorang pun setuju.


Kemunculan pertama saya tu memang kekok. Semua tertanya-tanya mana saya hilang dalam 10 tahun ni. Berat untuk saya cerita kepada mereka.


*****

Saya dapat mesej daripada kawan saya ni, Fredy, dalam Whatsapp group budak-budak lelaki. Atikah nak jemput kenduri aqiqah anak dia. Tapi Atikah tak jemput semua orang dalam kelas sebab dia sendiri pun tak ke majlis kenduri kawan-kawan. Segan katanya.


Saya check alamat. Rupa-rupanya 15 minit perjalanan daripada rumah saya. Maknanya rumah saya yang paling dekat dengan majlis tu.


*****


Dah seminggu ni hujan lebat sebelah petang. Ditambah pula Meru ialah kawasan paling kerap banjir dalam daerah Klang. Entah macam mana, hari kejadian tu, sebelah petangnya tak hujan. Saya pun kelam-kabut bersiap untuk ke majlis tu.


*****

Banyak yang kami bualkan. Aneh ya sebab kami sebenarnya tak rapat. Tapi bila jumpa, macam-macam benda kami bualkan. Tiba-tiba rasa seronok sebab baru tahu ada kawan sekelas yang tinggal kat kampung sebelah, walaupun saya dah lebih sedekad tahun pindah daripada Kampung Delek. Dia pun rupanya ikut saya pindah. Tapi dia pindah ikut suami la. suaminya pula orang kampung sebelah saya je.


Dia bercerita, selepas habis belajar, dia bekerja 2 tahun, berkahwin, dan jadi suri rumah sepenuh masa. Disebabkan tiada kenderaan dan perlu jaga anak-anak, dia tak dapat hadir ke majlis kawan-kawan sekolah.


Rupa-rupanya, selain saya, dia pun 'menghilang'. Tapi dia menghilang kerana tiada pilihan. Saya pula menghilang atas pilihan saya sendiri.


Dan kami bertukar cerita tentang kawan-kawan sekolah yang lain. Sangat terasa ya akrabnya.

Dalam ramai-ramai yang dijemput, saya yang paling tak rapat ni pulak tiba-tiba muncul. Saya rasa mungkin dia rasa sangat terharu. Dan jumlah perkataan dalam perbualan ringkas tu sebenarnya lebih banyak daripada daripada apa yang pernah kami bualkan sejak sekolah rendah.


Kini saya belajar untuk rasa lebih menghargai orang sekeliling. Sebab kadang-kadang, untuk berjanji untuk bertemu dengan 20 orang, mungkin 2 je yang mampu untuk muncul. Maka, hargailah yang 2 itu, sebab yang 2 itu kadang kala lebih bernilai daripada 20.


Kawan-kawan saya yang lain memang tak dapat datang sebab komitmen. Saya je yang berkelapangan. Kira saya ni mewakili semua budak kelas 5 Setia 2007 SMK Telok Gadong la.


*****


"Wei, kawan aku nak balik dah ke?"


Saya angguk.


"Okay la. Lain kali, ada apa-apa, aku jemput lagi"


"Okay"


Saya melangkah meninggalkan majlis. Rasa seronok sangat sebab tengok dia bahagia dengan keluarganya.


Mungkin ini peluang kedua yang Allah bagi untuk saya tebus apa yang cuba lari sejak lebih 12 tahun itu.


Mungkin ini antara apa yang dia sebut, "Kau nampak lain la."


Saya akui, saya yang sekarang lebih matang, lebih banyak bersuara, yakin dengan diri sendiri.


Saya nak kembali mencari kawan-kawan sekolah yang dah lama saya tinggalkan.


Trivia: Kami berkongsi maksud nama yang sama, iaitu "Yang Mulia" atau dalam bahasa Inggerisnya, "Noble".

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...