9 Oktober 2011
5.11 pm


“Esok, masjid ada buat majlis buka puasa. Aku ingat nak puasa esok” kata saya.
Waktu ni, saya masih asing dengan perkataan “iftar”.
Iftar ialah bahasa Arab untuk majlis berbuka puasa

Zaman matrikulasi.
Zaman peralihan hidup saya.
Daripada seorang yang hidupnya jauh menyimpang daripada ajaran agama, mencari sinar bulan dalam kesamaran malam.
Revert, bukan convert.
Sebuah zaman pencerahan.

“Nak puasa? Puasa sebab ada majlis buka puasa? Tak ikhlas langsung,” kata coursemate saya.

Saya terdiam.
Keikhlasan?  Mungkin juga saya tak ikhlas untuk berpuasa.
Puasa kerana iftar, bukan kerana Allah.

*****

Sahabat-sahabat menikmati juadah yang dimasak bersama petang tadi.
Saya sekadar memerhatikan dari jauh.
Menanti iqamat untuk solat Maghrib.

Saya akan bersolat awal.
Tak bersolat bersama mereka yang sedang berbuka.
Tak elok menangguh-nangguhkan solat, kalau tiada urusan mustahak.

Mereka berpuasa. Saya tidak.
Mereka ikhlas? Barangkali, ya.
Aku? Tak. Tak ikhlas langsung!

*****

“Aku tak puasa tadi..” kata saya, perlahan.
Kami berdua berada di ruang berdekatan tangga dalam masjid.

“Sebab, ada orang kata, kalau puasa sebab iftar kat masjid, namanya tak ikhlas”

Dia diam sebentar.
“Sebenarnya, buka puasa kat masjid ni sekadar tarikan. Untuk tarik orang supaya masjid ni lebih ramai jemaahnya.”

Saya tekun mendengar.

“Tapi, lain kali, kita puasalah sama-sama. Biasanya kami puasa hari Isnin dengan Khamis. Tak kisahlah ada iftar atau takde. Sebab, keikhlasan tu, bukan manusia yang ukur.”

Saya terlalu memandang “apa orang kata”.

*****

Rupa-rupanya bukan saya seorang yang terkena dilema ni.
Maklumlah, ada ramai “saudara baru” di sini.
Masih ramai yang mahu menambah ilmu tentang Islam, sama seperti saya.

“Hang sembahyang, hang ikhlas tak?”  tanya Uzair.
“Hang solat sebab hang nak buat, atau sebab Allah suruh?”

Saya memandang Bilal. Beliau juga sedang mendengar.
“Tak ikhlas kan? Takpa. Yang penting, hang buat je segala macam ibadat. Ikhlas tu, insyaAllah akan datang sendiri.”

Hari pertama pergi sekolah, kita menangis-nangis tak nak masuk kelas.
Cukup liat nak bangun pagi.
Kalau bantal berpeta dan tilam kekabu tu boleh sumbat dalam beg, memang dah bawak ke sekolah agaknya.
Ikhlas tak nak pergi sekolah pada hari pertama?
Tak.

Lepas setahun? Lepas dua tahun? Lepas sebelas tahun?
Kita akan pergi ke sekolah tanpa disuruh.
IKHLAS ke sekolah untuk meneguk ilmu.
IKHLAS kerana Allah.



“Ikhlas tu bukan kita yang ukur, tu biar Allah yang tentukan. Jangan sampai kita tinggalkan amalan ibadat sebab tak nak riak dengan manusia, kerana tu la tanda kita riak dengan Allah sebenarnya.”

Inspirasi;
Contengan Jalanan (2011), Hlovate.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...