October 22 2023, 3.22 pm

Bentuk muka buminya yang dikelilingi pulau dan laut mengilhamkan orang Melayu untuk membina kapal dan meneroka Nusantara hingga ke luar alam Melayu. Kapal ini berkeupayaan tinggi kerana dengan drauf yang kecil tetapi mampu menampung ramai anak kapal. Mempersoalkan Melayu ini pendatang daripada Indonesia ke Tanah Melayu hakikatnya mempersoalkan tuan ramah yang bergerakdalam rumah sendiri.

Di sinilah rumah Melayu. Rumah yang dikongsikan bersama orang lain, dengan syarat mereka perlu setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat 3 teori yang digunakan oleh penyelidik untuk memberi takrifan sempadan alam Melayu:

1.        Teori Wallace Line

2.      Teori Pentas Sunda.

3.       Teori Linguistik

 

 

October 212023, 6.19 pm

 

Pada 17 Disember 2021, hari Jumaat, hujan turun sepanjang hari di seluruh Selangor. Hujan memang perkara biasa di pantai Barat Semenanjung Malaysia pada musim Monsun Timur Laut ini, yang mana angin bertiup kencang dari Kelantan ke Selangor, membawa awan bersamanya dan berkumpul di puncak banjaran Titiwangsa. Tapi apa yang luar biasa ialah gugusan awan ini terlalu banyak kerana pengaruh angin Lekukan Tropika 29W yang sangat kuat, menolak awan ini melepasi banjaran tersebut, lalu hujan jatuh mencurah-curah di bahagian barat Kawasan tersebut. Hujan lebat turun di empangan Sungai Klang, meninggikan paras air, dan air terpaksa dilepaskan segera atau empangan tersebut akan pecah.

August 18 2023, 5.35 pm



Dulu saya pernah berpesan kepada diri,

"Aku dah tak nak datang sini lagi".

*****

Semester terakhir tu, saya siapkan macam-macam.

Hantar report Latihan Industri saya kepada junior-junior Kelab Remaja Ukhwah Kolej Tuanku Canselor yangsetahun muda yang rapat dengan saya.

Untuk bagi diorang rujukan waktu nak buat LI atau praktikal nanti.

Saya jugak bagi borang-borang FYP/PSM untuk bagi diorang idea untuk buat projek tahun akhir sem akan datang.


Kenapa saya susah payah nak tolong diorang walaupun diorang tak mintak?


Sebab saya berniat untuk pergi.

Pergi jauh daripada hidup mereka.

Saya nak menghilangkan diri.


Tahun akhir tu, kawan-kawan satu batch nak ambil gambar kami makan bersama.

Saya selalu mengelak daripada diambil gambar bersama diorang.

Sebab saya tak mahu jadi sebahagian daripada memori mereka.

Saya tak mahu dikenang atau wujud dalam memori mereka.

Saya mahu dilupakan.


Saya sendiri pun takde alasan kukuh kenapa saya menghilangkan diri daripada kenalan sekolah menengah & universiti.

Tapi perasaan nak menjauh tu semakin menebal pada sem akhir tu.

"Habis je konvo, aku nak block semua orang. Aku nak tutup facebook. Takde lagi 'Nat Cure' dalam hidup diorang"

Konvo pada Oktober 2013.

Tutup facebook 30 November 2013.

Block hampir semua nombor kenalan.

Hilang secara rasmi pada 1 Disember 2013.

*****

Rupa-rupanya hampir sedekad berlalu sejak habis belajar kat UTM.

Dan takdir seakan-akan 'menarik' kembali saya ke sini.

Untuk melunaskan apa yang tertangguh selama 10 tahun itu.

Saya geledah barang-barang lama saya di rumah. Dan terjumpa 3 buah buku. Satu saya pinjam dari surau. Dua buah saya pinjam dari Reading Station, sejenis rak buku yang bersepah di seluruh UTM hasil derma daripada warga UTM.

Saya perlu pulangkan buku-buku ni. Tapi saya ni takut memandu kereta dulu. Nak naik bas pun rasa tak berbaloi semata-mata nak pulangkan buku-buku ni.

Buku ni kekal tersimpan dalam kotak di rumah hampir sedekad.

Entah macam mana, ekoran apa yang  berlaku di tempat kerja, saya terus bagi surat perletakan jawatan. Kembali menganggur satu tahun setengah sebelum dapat kerja baru.

Dan tempat kerja baru minta saya ke Senai selama seminggu.

Allah aturkan semuanya dalam ilmu yang tidak saya fahami. UTM hanya setengah jam perjalanan daripada hotel yang saya tinggal.

Saya pun teringat kepada buku-buku yang saya pinjam. Dan bawa semuanya bersama.

Hari ni Jumaat, hari terakhir saya di Senai. Sebelum pulang ke Klang, saya ke UTM dahulu.

Satu demi satu memori kembali menerjah.

Tak sangka dapat pulang ke sini.

UTM tak boleh masuk pada hari cuti (Jumaat & Sabtu). Dah tak sebebas dulu. Tapi saya bagitau abang polis tu, saya nak pulangkan buku.

"Datang dari Klang semata-mata nak pulangkan buku?"

Abang tu mintak lesen saya, dan bagi pas pelawat.

Saya pusing sekitar kawasan blok pertama saya, S40.

Pusing ke Kolej Perdana. Lalu depan kedai Azah. Kemudian S05, blok terakhir saya. Dan S10, blok tahun dua. Kat sinilah kali terakhir saya jumpa arwah abah dalam keadaan sedar sebelum koma.

Ada banyak loker baru di hadapan blok masing-masing. Mungkin nak ganti loker lama.

Dan sampai di S01. Saya jalan-jalan sekitar pejabat. Lalu depan Dewan Astana. Kemudian, ke surau. Saya letakkan satu buah buku di sana.

Rindu surau ni. Tempat lepak saya dengan senior-senior & kawan-kawan saya.

Saya turun, dan cari Reading Station di pejabat KTC 

Dah takde!

Habis tu, 2 buku ni nak letak mana?


Saya masuk dalam kereta.

Entah kenapa, saya terus hantar gambar-gambar terkini kolej kepada kakak senior saya. Beliau je satu-satunya nombor  kenalan UTM yang saya tak pernah block sampai hari ni.


Kata kakak senior tu, "Sireh pulang ke gagang ni".

Betul la tu. Kolej Tuanku Canselor atau KTC ni pernah jadi rumah saya membesar selama 4 tahun.

Saya terus Masjid Sultan Ismail, atau MSI. Sebab kat sana ada Reading Station. Harap-harap ada lagi la. Saya parking berdekatan Perpustakaan Sultanah Zanariah, atau PSZ.

"Baik hantar terus buku ni ke PSZ."

Saya pun masuk PSZ. Jelaskan situasi saya kepada staff sana.

"Oh Reading Station sekarang dah tak banyak. Untuk beberapa kolej, dah merge jadi satu rak je"

Patutlah dah tak nampak lagi almari buku tu bersepah sekitar UTM.

"Jadi nak pulangkan buku ni la ya?"

"Ha'ah. Dah 10 tahun saya simpan buku tu"

Abang tu pun gelak.


Rasa lapang sangat. Saya naik kereta dan pusing sekitar Fakulti Sains, kemudian pusing sekitar Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Teringat makmal projek tahun akhir tu. Kemudian bangunan kat atas bukit yang jadi dewan exam & jadi bilik kuliah untuk kebanyakan kelas tahun akhir.

Saya kembali ke abang polis tadi. Ambil lesen semula, dan berlalu meninggalkan UTM.


Bila fikir balik, kenalan kat UTM takde buat dosa pun kat saya sampai saya nak block diorang. Diirang takde salah apa pun. Saya yang terasa nak menjauhkan diri. Mungkin, yang salah tu sebenarnya saya. Ada masalah, lari tinggalkan kawan. Suka sangat menyendiri.

Mungkin saya perlu belajar untuk hubungi semula kenalan-kenalan lama ni.

Mungkin saya perlu belajar terima kekurangan diri, sebab saya selalu beranggapan saya tak setaraf diorang. Diorang CGPA bagus, kerja bagus, ada master & PhD, dah kahwin & beranak-pinak. Saya ni takde apa pun. Rasa rendah diri & malu tu yang buatkan saya makin jauh daripada diorang. 

Tapi boleh ke diorang maafkan saya, lepas saya tinggalkan diorang?









 January 28 2022, 4.27 pm


1931

Mubin C. Ff. Sheppard, atau Mervyn Cecil ffrank Sheppard dilantik sebagai pembantu setiausaha Residen Perak. Beliau sangat meminati dengan budaya & kesenian orang Melayu.

1960

Mubin Sheppard pernah meminta 2 orang anak perempuan kepada Sultan Abdullah yang dilahirkan di Seychelles & juga seorang anak Raja Mansur (cucu Sultan Abdullah) untuk menulis di 'Malaya in History', iaitu sebuah jurnal sejarah.

Raja Aminah pernah menulis tentang lagu 'Negara Ku'. Beliau ada menyatakan bahawa alunan lagu tersebut pernah dimainkan oleh kumpulan muzik Perancis setiap hari Selasa berdekatan rumah mereka di Mahé . Lagu tersebut sangat poplar di pulau tersebut dan disiulkan oleh para kelasi. Beliau juga menyatakan pada 1885, Raja Chulan pernah melawat mereka & terdengar melodi lagu in, lalu membawanya ke Perak.Ketika itu, Raja Aminah baru berusia setahun. Kisah ini diakui oleh Raja Halijah yang merupakan adik-beradik Raja Aminah.

Raja Kamaralzaman, yang merupakan anak lelaki Raja Mansur menyatakan Sultan Idris dijempuat oleh Ratu Victoria ke London pada 1888. Baginda ditemani Sir Hugh Low & Raja Mansur. Raja Mansur memberikan lagu yang didengarinya daripada Raja Chulan di Seychelles sebagai lagu negeri Perak, dan memberitahunya kepada Sultan Idris dalam perjalanan ke Istana Buckingham.

Dalam artikel yang ditulis oleh mereka berdua, tajuk lagu 'Rosalie' langsung tidak disebut.

1979

Taman Budiman, sebuah memoir yang ditulis oleh Mubin Sheppard menceritakan semula kisah ini (melalui Raja Chulan).

1983

Taman Saujana, sebuah buku kesenian Melayu oleh Mubin Sheppard menulis sekali lagi kisah ini tanpa menyatakan sumbernya. Dalam kedua-dua buku ini, ada dituliskan tajuk lagu 'Rosalie'.

 January 14 2023, 3,49 pm


1875

James Wheeler Woodford Birch, atau J.W.W. Birch, Residen British pertama dibunuh di Pasir Salak ketika beliau sedang mandi.

1877

Dato' Maharaja Lela & sekutunya dihukum gantung sampai mati.

Sultan Abdullah, Sultan Perak ke-26 pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles. Semua kaum kerabat baginda mengikutinya, kecuali 2 orang puteranya, Raja Mansur & Raja Chulan.

Kedua-duanya dihantar oleh British untuk bersekolah di Institusi Raffles di Singapura & Sekolah Tinggi Melaka. Kedua-duanya juga berkhidmat dalam perkhidmatan awam di bawah pentadbiran Residen Perak yang baru, iaitu Sir Hugh  Low. Dan mereka berdua juga mempelajari biola di sekolah

1883 (atau 1885)

Raja Chulan berlayar merentasi Lautan Hindi untuk melawat bapa & keluarganya di Mahé, pulau terbesar di Seychelles. Kerabat Sultan Abdullah tinggal di sebuah rumah kayu berdekatan dengan laut.

Setiap hari Selasa, kumpulan muzik berketurunan Perancis akan membuat persembahan di sana. Raja Chulan amat meminati sebuah lagu yang dimainkan oleh mereka yang bertajuk 'Rosalie'. Lagu ini dikatakan ditulis oleh komposer Perancis, Pierre-Jean de Béranger. Apabila pulang, Raja Chulan mengajar lagu ini kepada Raja Mansur.

1888

Raja Mansur mengiringi Sultan Idris ke England. Wakil daripada Istana Buckingham tiba untuk bertemu Raja Mansur. Wakil istana tersebut memberitahu bahawa pihak istana akan mengadakan majlis selamat datang di London, dan pihak pancaragam di sana akan memainkan lagu negeri Perak. Wakil istana istana meminta salinan kertas muzik daripada Raja Mansur untuk mereka berlatih memainkan lagu tersebut.

Malangnya, negeri Perak tiada lagu negeri ketika itu.Raja Mansur yang ketika itu berusia 24 tahun berasa agak segan untuk memberitahu bahawa Perak tiada lagu negeri. Dan beliau mendapat satu idea. Beliau perlu mencipta lagu tersebut.

Raja Mansur pulang ke kabinnya, berpura-pura mencari kertas muzik. Sekembalinya beliau, beliau memaklumkan bahawa beliau terlupa membawa salinan kertas muzik tersebut. Tetapi beliau boleh bersiul dan meminta seorang pegawai untuk menulis not muzik tersebut di kertas. Beliau mula teringat lagu 'Rosalie'.

Perkara ini dimaklumkan kepada Sultan Idris, dan meminta baginda berdiri tegak di Istana Buckingham apabila lagu ini dimainkan, kerana lagu ini telah menjadi lagu negeri Perak.

Kisah ini merupakan salah satu versi bagaimana lahirnya lagu negeri Perak. 


Siri 'Rosalie' yang akan saya tulis untuk beberapa bahagian ini  bukanlah untuk fokus kepada lagu negeri Perak semata-mata, tetapi tentang sejarah lahirnya lagu kebangsaan kita, Negaraku.

Nantikan sambungannya dalam post akan datang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...