January 14 2023, 3,49 pm


1875

James Wheeler Woodford Birch, atau J.W.W. Birch, Residen British pertama dibunuh di Pasir Salak ketika beliau sedang mandi.

1877

Dato' Maharaja Lela & sekutunya dihukum gantung sampai mati.

Sultan Abdullah, Sultan Perak ke-26 pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles. Semua kaum kerabat baginda mengikutinya, kecuali 2 orang puteranya, Raja Mansur & Raja Chulan.

Kedua-duanya dihantar oleh British untuk bersekolah di Institusi Raffles di Singapura & Sekolah Tinggi Melaka. Kedua-duanya juga berkhidmat dalam perkhidmatan awam di bawah pentadbiran Residen Perak yang baru, iaitu Sir Hugh  Low. Dan mereka berdua juga mempelajari biola di sekolah

1883 (atau 1885)

Raja Chulan berlayar merentasi Lautan Hindi untuk melawat bapa & keluarganya di Mahé, pulau terbesar di Seychelles. Kerabat Sultan Abdullah tinggal di sebuah rumah kayu berdekatan dengan laut.

Setiap hari Selasa, kumpulan muzik berketurunan Perancis akan membuat persembahan di sana. Raja Chulan amat meminati sebuah lagu yang dimainkan oleh mereka yang bertajuk 'Rosalie'. Lagu ini dikatakan ditulis oleh komposer Perancis, Pierre-Jean de Béranger. Apabila pulang, Raja Chulan mengajar lagu ini kepada Raja Mansur.

1888

Raja Mansur mengiringi Sultan Idris ke England. Wakil daripada Istana Buckingham tiba untuk bertemu Raja Mansur. Wakil istana tersebut memberitahu bahawa pihak istana akan mengadakan majlis selamat datang di London, dan pihak pancaragam di sana akan memainkan lagu negeri Perak. Wakil istana istana meminta salinan kertas muzik daripada Raja Mansur untuk mereka berlatih memainkan lagu tersebut.

Malangnya, negeri Perak tiada lagu negeri ketika itu.Raja Mansur yang ketika itu berusia 24 tahun berasa agak segan untuk memberitahu bahawa Perak tiada lagu negeri. Dan beliau mendapat satu idea. Beliau perlu mencipta lagu tersebut.

Raja Mansur pulang ke kabinnya, berpura-pura mencari kertas muzik. Sekembalinya beliau, beliau memaklumkan bahawa beliau terlupa membawa salinan kertas muzik tersebut. Tetapi beliau boleh bersiul dan meminta seorang pegawai untuk menulis not muzik tersebut di kertas. Beliau mula teringat lagu 'Rosalie'.

Perkara ini dimaklumkan kepada Sultan Idris, dan meminta baginda berdiri tegak di Istana Buckingham apabila lagu ini dimainkan, kerana lagu ini telah menjadi lagu negeri Perak.

Kisah ini merupakan salah satu versi bagaimana lahirnya lagu negeri Perak. 


Siri 'Rosalie' yang akan saya tulis untuk beberapa bahagian ini  bukanlah untuk fokus kepada lagu negeri Perak semata-mata, tetapi tentang sejarah lahirnya lagu kebangsaan kita, Negaraku.

Nantikan sambungannya dalam post akan datang.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...