September 4 2022, 10.56 am

Saya bercadang untuk menulis tentang saham, atas permintaan junior saya. Jadi, saya kongsilah sikit pengalaman yang saya dapat sepanjang menjadi seorang pelabur runcit.


SATU

Pernah terfikir tak macam mana KWSP, ASB & Tabung Haji boleh bagi dividen tiap-tiap tahun ke dalam akaun kita? Mana datangnya keuntungan ni, sedangkan kita sekadar menyimpan dalam tabung ni? Jawapannya, pasaran saham. Tabung-tabung ni gunakan duit kita sebagai modal perniagaan. Diorang melabur kat mana-mana syarikat yang diorang berkenan, tabur juta-juta dalam tu, dan syarikat-syarika tadi tu kerja keras bagi ROI (return of investment) kepada KWSP & Tabung Haji. Inilah bukti bahawa saham ni sangat dekat dengan kehidupan kita.Cuma tak ramai yang perasan.

Tengok pulak biskut, coklat, air mineral, air berkarbonat, makanan ruji, rangkaian komunikasi, telefon pintar, dan pengangkutan. Semua ni dihasilkan oleh syarikat-syarkat yang modalnya datang daripada orang awam. Kita selaku pengguna selalu guna benda-benda ni, tapi pernah terfikir tak kenapa kita tak nak jadi 'tauke' syarikat ni? Kalau syarikat tu untung, mestilah kita pun untung, kan?


DUA

"Saham apa yang bagus? Ada tips tak nak beli saham syarikat mana?"

Saya akan jawab "Tak tahu". Sebabnya, saya tak perlu ikut 'arus perdana'. 'Sifu/coach' beli saham sektor teknologi, beratus-ratus ikut beli. Bila permintaan tinggi, automatik harga saham pun naik. 'Demand and supply' dalam ekonomi. Bila Harga dah cecah target harga yang dia nak, 'sifu/coach' tadi pun jual saham dia. Follower yang lambat ambik tindakan berputih mata je sebab harga dah jatuh lebih rendah daripada modal waktu dia beli.

Satu pesan saya, jangan ikut 'sifu/coach' anda beli saham mana. Lain waktu, lain situasi. Musim Covid-19 pada 2020, sektor sarung tangun melambung-lambung harganya. Ada pulak tu yang beli waktu harga puncak, dan sekarang ni harganya jatuh lagi teruk daripada sebelum pandemik. Semuanya disebabkan spekulasi tak berasas. Waktu tu ramai tak percaya harga saham akan jatuh. Hari ni terbukti diorang salah. Apa-apa yang naik mesti akan turun. Kitaran ekonomi.


TIGA

Jom tengok indeks FBMKLCI. (klik sini)

FBMKLCI

Indeks ni melambangkan keadaan sebenar ekonomi kita. Nak tahu ekonomi kita tengah baik atau tak, tengok graf ni. FBMKLCI terbentuk daripada 30 syarikat terbesar di bursa Malaysia, dan membentuk sebuah indeks. 

November 1987     246.08    RM 10 000.00
Februari 1997       1255.60   RM 51 024.06
September 1998     378.04   RM 15 362.48
Januari 2008         1438.59   RM 58 460.26
Disember 2008       869.41   RM 35 550.38
Julai 2014             1874.20   RM 76 162.22
Mac 2020            1360.97   RM 55 306.00

Terdapat 3 krisis kewangan yang berlaku sejak 3 dekad yang lalu:
1. Krisis kewangan asia 1997
2. Krisis gadai janji sub prima 2008
3. Kemelesetan Covid-19 2020

Krisis kewangan menjatuhkan harga saham secara mendadak, orang hilang pekerjaan dan perkembangan ekonomi menjadi sangat perlahan. Apa yang akan berlaku kepada saham?

Sekiranya pada November 1987 kita melabur RM10 000 dengan membeli saham-saham yang tersenarai dalam FBMKLCI, setelah berlakunya 3 krisis kewangan, nilainya kini menjadi RM55 306 secara minimum. Peningkatan 55 %. Seolah-olah pelaburan saham itu tak terkesan dengan krisis kewangan, dengan syarat pelaburan tersebut mestilah untuk jangka masa panjang. Dalam kes ni, 31 tahun meningkat 453%.

Ini belum kira dividen yang akan diterima. Katakanlah dividen 3% setahun, tolak zakat pelaburan 2.5 %, jadi untung dividen ialah 0.5%. Nak senang kira, saya ambil 0.5% darab modal asal (RM10 000) selama 31 tahun. Jumlahnya RM155 000, lebih banyak daripada untung harga saham (RM55 306). Bermula RM10 000, selepas 31 tahun jadi RM200 000 dalam tangan. True story.

Macam mana kalau kita mula melabur RM 1 juta pada November 1987?

Harga saham juga sangat 'volatile'. Hari ni boleh naik tinggi melangit, esok lusa harganya buat terjunan Pandalela. Kita tak boleh kawal rapuhnya harga saham. Tapi kita boleh kawal tindakan kita yang tak goyang macam orang lain, bila harga jatuh, kita tak perlu ketakutan dan jual saham macam orang lain. Peram sahaja saham tu bertahun-tahun lamanya.


EMPAT

Cara yang saya nak guna, ialah cara yang pasif. Saya pun takkan buang masa depan duduk depan laptop atau smartphone start 9 pagi sampai 5 petang menunggu pasaran saham dibuka untuk didagangkan. Tak perlu terkejar-kejar menanti harga naik dan jual. Cari saham lain, beli, jual. Ulang sampai muntah hijau.

Sampai bila nak hidup macam ni kan? Aktiviti hidup kita juga tergendala. Nak buat kerja terganggu. Ambik annual leave pun nasih 'bekerja'.

Inilah yang dipanggil 'active trader'. Saya pula jenis 'passive investor'. Prisnsip saya, beli saham, tidur. Tahun depan check annual financial statement syarikat yang saya beli tu. Kalau masih okay, beli lagi saham dan tidur balik. Kalau tak okay, jual, kaji syarikat lain, beli, dan tidur sampai tahun depan.

Cara ni juga tak perlu baca carta saham naik turun tu. Tak perlu faham sangat pun tentang ekonomi. Siapa-siapa pun boleh buat.

LIMA

Pada 12 Disember 1962, harga saham Berkshire Hathaway ialaha $7.50 sesaham, dan saham ini dibeli oleh Warren Buffet. Pada tahun 2018, harganya menjadi $308 000 sesaham, peningkatan lebih 4 100 000% dalam masa 56 tahun. Tetapi saham Berkshire Hathaway pernah je jatuh teruk. 

 

Turun naik harga saham ni yang dipanggil 'volatility'. Volatility ialah fitrah bagi harga saham. Dan volatility ni berlaku disebabkan 'supply & demand'. Pelaburan jangka masa panjang ialah jawapan untuk atasi masalah volatility ni.


Kita tengok pula syarikat tempatan, iaitu Top Glove, pengeluar terbesar sarung tangan di dunia. 
Jom tengok harga sahamnya.

27 Oktober 2017 - RM 1.08
26 Oktober 2018- RM 1.89
25 Oktober 2019 - RM 1.45
23 Oktober 2020 - RM8.70
29 Oktober 2021 - RM2.72
21 Oktober 2022 - RM0.73

Sekiranya kita melabur pada 2017, harganya meningkat lebih 8 kali ganda pada 2020 disebabkan pandemik Covid-19 berikutan peningkatan terhadap sarung tangan yang meningkat di seluruh dunia secara mendadak. Ada permintaan terhadap produk, maka pembekal akan menghasilkan produk dengan kapasiti yang besar, banyak jualan akan masuk, banyak duit yang syarikat akan dapat, dan syarikat akan dapat banyak untung, dan keuntungan ni akan diagihkan kepada pelabur.

Pelabur yang nampak peluang ni akan berlumba-lumba untuk beli saham syarikat ni, kerana mereka percaya permintaan untuk beli saham syarikat ni akan terus meningkat. Demand kepada saham syarikat meningkat, tetapi supply oleh saham syarikat tu kurang, maka harganya meningkat. Faham kan konsep ni?

Tapi apa-apa yang naik pasti akan jatuh.

Selepas penumuman vaksin Covid-19 ditemui, pastinya permintaan kepada sarung tangan akan jatuh. Bila dah kurang yang membeli sarung tangan, maka kuranglah duit yang masuk ke dalam syarikat. Syarikat akan alami kerugian. Mereka yang dah hidu perkara ni lebih awal akan jual saham secepat yang boleh, kerana takut rugi.

Makin ramai jual saham, demand untuk beli saham kurang, banyak saham tak terjual, supply kepada saham akan berlebih-lebih, harganya terpaksa dijatuhkan supaya orang beli.

Siapa yang beli saham Top Glove pada harga kemuncaknya memang akan rugi teruk pada kemudian hari. Beli sebab terikut-ikut orang lain tanpa memahami apa sebenarnya yang berlaku.

Ini ialah harga saham Top Glove untuk 5 tahun ni.

Bukan ke tadi cakap 'long term investment' ni bagus? Kenapa lepas 5 tahun rugi?

Kalau kita beli saham Top Glove pada 2006 yang berharga RM 0.30, dan harganya menjadi RM0.73 pada 21 Oktober 2022. Peningkatan 143% dalam 16 tahun. Masih untung sebenarnya walaupun berlaku kejatuhan harga.

Kita tak boleh kawal harga saham, tapi boleh kawal emosi kita.

Bila harga jatuh, jangan panik. Jangan terus jual. Teruskan hidup anda.

Jatuhnya harga saham yang kita labur dipanggil 'unrealised loss'. Rugi atas kertas. Kita belum betul-betul rugi sebab belum jual saham tu. Maksudnya, harga saham tu juga boleh naik balik.

ENAM

Tak semua orang pandai berniaga atau buka bisnes. Saya pun tak minat berniaga sebenarnya.
Tapi kita boleh berikan modal kepada orang lain untuk dia berniaga, supaya dapat buat pusingan modal.
Modal akan besarkan perniagaan tu.
Dan keuntungannya akan dikongsi bersama kita semula.
Inilah yang berlaku dalam dunia saham sebenarnya.
Kita beri modal (beli saham) supaya mereka pusingkan semula modal tu (harga saham naik + dividen).

Sebagai peniaga yang tak cukup modal, peniaga ni boleh mohon pinjaman bank.
Tapi perlu cagarkan sesuatu sebagai jaminan. Takkanlah bank nak bagi pinjam duit semudah itu, kan?

Di sinilah peranan keluarga dan kawan tu penting.
Kita minta mereka laburkan duit mereka dalam perniagaan kita.
Mungkin kita pegang saham 60%, dan yang lainnya lagi 40%.
Bermula dari gerai pisang goreng tepi jalan, lama-lama jadi sebuah restoran.
Dan kita rasa nak kembangkan lagi restoran tu menjadi franchise di seluruh negara.

Dan kita boleh mohon IPO (Initial Public Offering) untuk disenaraikan di Bursa Malaysia untuk mula jual saham kepada orang awam.
Kita akan pegang 30% saham, keluarga & kawan 20%, lagi 50% kepada orang awam.
Kita masih CEO sebab kita pemegang saham terbesar. 50% saham tu akan dijual beli berkali-kali macam kereta terpakai.

Selaku pelabur, kita akan dapat dividen hasil daripada kita memegang saham tu.
Keuntungan saham sebenarnya melibatkan 'capital gain' (keuntungan modal) + 'cashflow' (dividen).
Ramai yang abaikan aspek dividen ni, dan hanya fokus kepada harga saham.

Strategi saham yang saya amalkan, sama seperti pelabur legenda Warren Buffet:
VALUE INVESTING atau PELABURAN NILAI.

Ini starteginya:
1. Buat analisis banyak syarikat dengan membaca laporan kewangan tahunan
2. Beli saham 10 syarikat
3. Simpan dividen yang syarikat tadi bagi
4. Lepas setahun, analisis lagi laporan kewangan tahunan.
5. Kalau masih okay, simpan saham tu. Atau beli lagi saham syarikat tu.
6. Kalau tak okay, jual saham tu. Cari syarikat lain untuk ganti saham yang tak okay tu.
7 Ulang sampai 3 tahun hingga 5 tahun.

Saya akan huraikan panjang lebar dalam post akan datang.
Terima kasih sebab sudi membaca.

2 comments:

Very insghtful thread.

Nak tanya,

1. Saham boleh diwariskan ke?
2. Kenapa awak pilih saham dan bukan pelaburan lain?

Thanks

Maaf lambat balas. Saya dah baca komen ni hari pertama komen ni ada kat sini. Belum rajin nak balas.

1. Saham boleh diwariskan? Boleh. Macam CEO Megah Holding nak bagi saham kepada anaknya supaya anaknya ada pegangan kepada syarikat tu. Untuk konteks pelabur runcit, saya tak pasti. Boleh rujuk kepada broker (orang yang uruskan hal akaun saham kita).

2. Kenapa saya pilih pelaburan saham? Sebab saya introvert.

Hujung minggu suka lepak kat rumah, habiskan masa dengan keluarga. Atau berkurung kat rumah buat aktiviti sendiri. Saya tak suka terkejar-kejar jumpa klien hujung minggu untuk jual hartanah. Malas pun nak banyak bercakap dengan orang. Saya bukan orang yang suka berniaga.

Saya tak melabur emas, sebab malas nak pergi kedai emas, malas nak gadai emas. Lagi pun, emas tak boleh beranak-pinak. Tiada 'cashflow' atau aliran tunai. Maksudnya, kita beli emas 100 g, lagi 10 tahun masih emas 100 g. Harganya mungkin naik, tapi selagi emas tu dalam simpanan kita, dia tak boleh bagi pulangan tunai setiap tahun. Saham pulak ada dividen setiap 3 bulan (kebiasaannya) selama kita pegang saham tu tanpa perlu menjual.

Beli saham pun transakasinya online sahaja. Hanya sekali sahaja kita perlu berjumpa orang, iaitu broker saham. Lepas dah ada akaun berdagang saham, tak perlu pun jumpa dia lagi. Main smartphone sahaja. Tahu-tahu duit masuk akaun.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...