August 6 2016, 9.20 pm

Filem ini merupakan filem ketiga yang saya tonton di pawagam tahun ni (selain Ada Apa Dengan Cinta 2 dan Angry Birds). Dan saya rasa ini antara filem Indonesia yang terbaik pernah saya tonton. Berkisahkan tentang kisah hidup seorang 'hero besar' di Indonesia, tapi sayangnya, cuma sekitar enam orang sahaja yang menonton filem ni termasuk saya. Pawagam kosong gila.




Kenapa ya filem ni tak meletup berbanding di Indonesia? Mungkin sebab tak ramai peduli siapa Rudy Habibie. Berbanding masa saya tengok Ada Apa Dengan Cinta 2 sebelum ni, seat penuh je sampai ke bawah. Itu pun nasib baik saya dapat seat tengah. Setiap hari saya akan check di Internet untuk pilih waktu tayangan Rudy Habibie. Keluar je waktu tayangan, saya terus beli tiket - tapi rupa-rupanya tiket belum keluar 2 hari sebelum tayangan. (Saya nak tengok Sabtu, jadi tiket palng awal keluar pada hari Khamis. Tapi saya datang hari Rabu. Semangat gila nak tengok cerita ni.). Tapi sambutannya sangat hambar.

Filem ini mengisahkan jalan hidup Bacharuddin Jusuf Habibie, atau Rudy Habibie sebelum peristiwa yang berlaku dalam Habibie & Ainun. Rudy Habibie yang ketika itu masih menyambung pengajiannya di RWTH di Aachen, Jerman. Juga diselitkan insan-insan yang menyokong perjuangan beliau untuk membangunkan industri penerbangan di Indonesia.

Sebelum Ainun, Rudy pernah bertemu Ilona.

Rudy pernah membesar bersama keluarganya di Parepare, dan sering meluangkan masa bersama bapanya di kawasan air terjun. Bapanya ada menerangkan konsep mata air (yang sering diulang berkali-kali dalam filem ini), di mana mata air yang baik akan membawa pengaruh yang baik kepada kawasan sekelilingnya. Sekiranya mata air itu kotor, maka tak ada hidupan yang mampu hidup di sekitarnya.

Ada satu scene tu, di mana bapanya mengimamkan solat, beliau bersujud lama. Rudy yang kehairanan pun cuba menyentuh bapanya, lalu rebah. Rudy segera mengambil tempat imam dan memberi arahan kepada makmumnya untuk tahiyat akhir. Selesai memberi salam, semua meluru ke arah bapanya sambil menangis. Scene ni memberi gambaran tentang takdir Rudy satu ketika nanti yang bakal memimpin bukan sahaja keluarganya, tapi seluruh Indonesia.

Rudy sebenarnya bukanlah pelajar tajaan biasiswa seperti mahasiswa lain. Beliau menggunakan duit pemberian ibunya dan sering mengikat perut. Tapi sebenarnya beliau juga sangat genius. Rudy boleh berbahasa Jerman dan Belanda dengan fasih sebelum tiba di Jerman. Beliau juga mampu menghafal maklumat yang banyak tanpa perlu merekodnya di atas kertas.

Rudy juga mempelajari teknik yang betul dalam kejuruteraan yang diajar oleh professor beliau. "Fakta. Masalah. Solusi.". Ayat ini juga sering diulang-ulang dan mengaplikasikannya dalam hidupnya, termasuklah perasaan cintanya kepada Indonesia.

Selain belajar tentang kejuruteraan aeroangkasa, beliau juga terlibat dengan PPI atau Persatuan Pelajar Indonesia di sana, walaupun pada asalnya beliau sama sekali tidak berminat. Tujuan utamanya ialah merangka dan membentuk masa hadapan Indonesia menggunakan kepakaran pelajar-pelajar yang menyambung pengajian di Eropah.

Persahabatan Rudy bersama Ayu, Liem Keng Kie, Peter, Poltak dan yang lainnya diuji apabila terdapat pertembungan idea untuk membawa haluan PPI ke arah pembangunan Indonesia. Terdapat campur tangan daripada pihak pemerintah Indonesia di bawah pimpinan Soekarno dan Rudy sanggup berdepan dengan risikonya. Sahabatnya yang lain memilih untuk berdiam diri kerana mereka ditaja oleh kerajaan, dan sebarang penentangan akan mengakibatkan biasiswa mereka ditarik.

Juga pertemuannya dengan Ilona Ianovska, gadis Jerman berdarah Poland yang fasih berbahasa Indonesia. Menariknya tentang watak ini ialah beliau menyokong penuh dan sering berdiri di belakang Rudy walaupun dia bukanlah rakyat Indonesia. Ilona jugalah yang memberi inspirasi kepada Rudy untuk 'memerhatikan' makanan kerana mungkin ia dapat memberi inspirasi kepada Rudy (seperti Newton yang menemui graviti daripada sebiji epal). Namun keadaan mula retak apabila Ilona bertemu dengan ibu Rudy yang bertanyakan masa hadapan mereka. Adakah Ilona sanggup tinggal di Indonesia, dan menukar agamanya kepada Islam. Ilona juga memikirkan apakah kerja yang mampu dia lakukan di Indonesia.

Rudy mengalami dilema untuk memilih pulang ke Indonesia atau tinggal di Jerman. Ilona mengatakan dia masih boleh menjadi 'mata air' di Jerman yang akan mengalir hingga ke Indonesia. Namun sebahagian hatinya mahu pulang dan berbakti untuk negara. Selepas berbual-bual dengan seorang paderi Indonesia, paderi tersebut berpesan, "Mata air selalunya muncul di tanah yang bergolak".

Rudy yang terlalu mencintai Ilona akhirnya membuat keputusan untuk berpisah. Bukan kerana dia tidak lagi mencintai Ilona, tetapi kerana cintanya terhadap Indonesia yang lebih besar. Ilona telah medapat pekerjaan di hospital di sana, manakala Rudi mahu menjadi 'mata air' di Indonesia.

Antara kemunculan watak yang paling ditunggu-tunggu, ialah watak Hasri Ainun Besari. Beliau ada membuat kemunculan dalam filem ini di rumah ibu Rudy, tapi hanya nampak dari sudut belakangnya sahaja. Wajahnya sama sekali tidak kelihatan. (Saya percaya pelakonnya bukanlah Bunga Citra Lestari). Namun Rudy ada melihat gambar Ainun yang dikirimkan bersama surat oleh ibunya. Ibu Rudy juga sebenarnya berkenan dan telah memberi 'hint' untuk menyatukan mereka berdua. Ketika itu Rudy masih di Jerman dan masih berkawan dengan Ilona.

Saya sangat-sangat mencadangkan filem ini kepada semua jurutera dan bidang sains lainnya untuk menonton filem ni, sebab filem ni memang best gila. Inilah kisah manusia kecil yang berjiwa dan bercita-cita besar untuk mengubah negaranya. Ini cerita sebuah legenda.

~nc~

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...